KUANTAN – Mangsa kemalangan di Pantai Sepat di sini yang kini koma sempat menghantar baju raya adik-beradiknya untuk dijahit semula sebelum berlaku kejadian tragis melibatkan dirinya.
Selepas Putra Aiman Najmi Nor Azrul Hisyam, 17, menghantar pakaian, dia menghubungi ibunya meminta izin untuk berbuka puasa bersama rakan-rakannya.
Ibunya, Norlita Mohamad, 42, berkata, anaknya itu telah tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan di sini memliliki lesen memandu dan baru membeli motosikal.
“Aiman keluar bawa pergi alter baju raya dan potong kaki seluar baju adik-adik di Kuantan Parade. Selepas menghantar baju anak saya ada memaklumkan untuk berbuka puasa bersama rakan-rakan di Pantai Sepat.
“Anak saya baru dapat lesen, baru pertama kali bawa motosikal jauh dari rumah dengan menunggang motosikal yang baharu dibeli tiga hari lepas.
“Sekarang anak masih kritikal dalam ICU, doktor maklumkan ada pendarahan dalam otak. Pihak hospital maklumkan akan membuat CT scan pada hari ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Norlita merupakan ibu tunggal menyifatkan Aiman sebagai anak bertanggungjawab kerana banyak membantunya dalam perniagaan selain menguruskan tiga lagi anaknya sejak suami meninggal dunia.
Beliau berharap agar anaknya kembali pulih bagi meneruskan hasratnya menyambung pengajian dalam bidang pendidikan.
“Saya memang banyak bergantung harap pada dia (Aiman). Malah anak minta beli motosikal untuk bantu saya buat kerja penghantaran makanan di gerai buat masa ini sementara dapat sambung belajar nanti.
“Kalau ikutkan Aiman akan menghadiri sesi temuduga Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) tak lama lagi,” katanya.
Terdahulu pihak polis mengeluarkan kenyataan bagi meminta mana-mana pihak yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Ibrahim Abd Rahman di talian 09- 5156111 atau 017-9070762. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















