KUALA LUMPUR – Hukuman yang tegas perlu dikenakan terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam amalan rasuah dan komisen tanpa mengira kedudukan atau pangkat mereka.
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berkata, agensi penguatkuasaan perlu memastikan bahawa undang-undang yang berkaitan dengan rasuah dan komisen dilaksanakan dengan tegas dan adil.
Menurut MCW, penghapusan budaya rasuah dan komisen memang merupakan sesuatu yang diinginkan oleh semua rakyat dan ia boleh dicapai dengan usaha bersama pelbagai pihak.
“Langkah penting yang boleh diambil adalah dengan meningkatkan kesedaran ahli politik dan penjawat awam tentang akibat buruk yang ditimbulkan oleh amalan rasuah dan komisen kepada negara.
“Pelbagai kaedah pencegahan dan kempen sosial serta pendidikan awam perlu diadakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
MCW mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang mengakui bahawa masih ada pihak yang cuba untuk mendapatkan komisen ketika berurusan dengan kerajaan termasuk di pejabatnya sendiri.
Tambah MCW, tata kelola yang lebih telus dan terbuka juga boleh membantu mengurangkan amalan rasuah dan komisen.
Katanya, pelaksanaan sistem dan proses yang lebih ketat dan jelas dalam perolehan kontrak kerajaan, pengurusan perbelanjaan dan pentadbiran wang awam akan membantu mengurangkan ruang untuk amalan rasuah dan komisen.
“Penglibatan aktif masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti MCW dalam memantau tata kelola kerajaan juga boleh membantu meningkatkan akauntabiliti dan ketelusan dalam tadbir urus negara.
“Masyarakat awam yang mengetahui tentang masalah ini mesti melaporkannya kepada pihak berkuasa dan pelapor tersebut wajar diberikan penghargaan dan pengiktirafan yang sewajarnya,” jelasnya.
MCW berkata, amaran Perdana Menteri tersebut perlu dipandang serius kerana beliau pasti mempunyai bukti dan sumber maklumat yang banyak dan tepat.
“MCW menaruh harapan agar komitmen penjawat awam dengan kerjasama ahli politik terutamanya, masalah budaya rasuah dan komisen dapat dihapuskan dari sistem pentadbiran kerajaan buat selamanya.
“Kepercayaan rakyat kepada ahli politik, kerajaan dan maruah penjawat awam pasti akan meningkat,” katanya. – MalaysiaGazette















