Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 06 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Kejatuhan nilai ringgit yang dialami dalam tempoh terdekat ini sebahagian besar didorong oleh pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diperakui Bank Negara Malaysia (BNM) dan keadaan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada ringgit, bahkan mata wang utama lain turut terjejas.

“Selain ringgit, keadaan sama turut dialami oleh mata wang utama dan serantau seperti yen Jepun, dolar Australia, won Korea, renminbi China, dolar Singapura dan peso Filipina yang turut menunjukkan penyusutan nilai berbanding dengan dolar AS pada tahun ini.

“Sejak 31 Disember 2022, berbanding dolar AS, ringgit menyusut 3.8 peratus, manakala yen Jepun menyusut lebih 6 peratus, manakala dolar Australia, won Korea, renminbi pula menyusut sekitar 3 peratus,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan bertulis Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin yang bertanyakan tentang kesan kejatuhan nilai ringgit kepada proses pemulihan ekonomi negara dan pendekatan digunakan untuk mengukuhkan nilai mata wang negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri tidak menafikan ketika kejatuhan nilai ringgit, terdapat mata wang negara jiran yang menunjukkan prestasi lebih kukuh berbanding dolar AS.

“Ini termasuk Singapura (merosot hanya 0.8 peratus) dan Indonesia (kukuh 3.8 peratus), namun negara tersebut telah mengetatkan dasar monetarinya dengan lebih agresif,” jelasnya.

Katanya, sejak Januari 2022, selain Malaysia menaikkan kadar faedah dengan 125 mata asas negara lain seperti Singapura turut melakukan perkara yang sama (380 mata asas), Indonesia (225 mata) asas, Amerika Syarikat (500 mata asas) dan United Kingdom (250 mata asas).

“Selain menaikkan kadar faedah dengan lebih agresif, Indonesia juga telah mengurangkan defisit fiskal dengan lebih ketara.

“Sasaran defisit fiskal Indonesia 2021 asalnya pada kadar 5.7% tetapi mencapai kadar 4.6%.

“Selanjutnya defisit fiskal 2022 dikurangkan kepada 2.4% antaranya dengan mengurangkan subsidi – pada bulan September 2022, menaikkan harga minyak sekitar 30%,” katanya.

Sebaliknya, tambah beliau kerajaan memilih untuk mengambil pendekatan yang lebih beransur-ansur, mengurangkan defisit daripada 5.6 peratus pada 2022 kepada sasaran 5 peratus pada 2023 dan mengambil pendekatan mengkaji semula subsidi secara bersasar.

“Prestasi ringgit berbanding dengan dolar AS, atau mana-mana mata wang lain, tidak harus dijadikan pengukur kedudukan ekonomi negara. Walaupun nilai mata wang ringgit menurun berbanding mata wang AS.

“Namun kadar pertumbuhan ekonomi pada 2022 telah melebihi paras pra pandemik; ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang kukuh antara 4 peratus dan 5 peratus pada 2023 (Seiring unjuran IMF 4.5%).

“KDNK suku pertama 2023 mencapai pertumbuhan 5.6%. Lebih baik berbanding negara serantau seperti Indonesia (5%), China (4.5%) dan Vietnam (3.3%),” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Hari ni baca berita ringgit tidak lagi merumdummm…dumm.dumm..dumm, tapi ianya terus menyusut!

    Alamat bertambah2 mahallah harga barang2 juga barang2 makanan… Apa nak jadi dengan Malaysia?

Comments are closed.