SEBERANG PERAI – Senario warga asing memandu kenderaan tanpa lesen nampaknya tidak berkesudahan bahkan mereka dilihat seolah-olah tidak gentar dengan undang-undang di negara ini.

Lebih menyedihkan kebanyakan kereta dan motosikal warga asing itu didapati disewa daripada pemilik tempatan yang hanya mahu mengaut keuntungan tanpa memikirkan risiko terhadap pengguna jalan raya lain.

Ia terbukti apabila Ops Pemandu Warga Asing (Pewa) dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang di sekitar Seberang Jaya hari ini yang mendapati masih ramai warga asing terdiri daripada Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Myanmar serta etnik Rohignya ditahan atas kesalahan memandu tanpa lesen.

Adenan (depan, kanan) sedang soal siasat pemandu warga asing yang ditahan.

Operasi bermula jam 7.30 hingga 10 pagi itu membawa kepada tangkapan 17 penunggang motosikal manakala enam pemandu kereta termasuk van.

Pengarah JPJ negeri, Adenan Md Isa berkata, sebanyak 89 saman dikeluarkan dalam operasi itu dan rata-rata mereka ditahan dalam perjalanan ke tempat kerja di sekitar Sungai Dua serta Kulim, Kedah.

Jelas beliau, siasatan awal di lokasi mendapati kebanyakan warga asing itu memberikan skrip alasan sama iaitu kenderaan tersebut milik rakan dan tiada sebarang bayaran dikenakan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati kebanyakan kenderaan yang disita itu didaftarkan atas pemilik tempatan sama sekali gus membongkarkan kenderaan tersebut disewa kepada warga asing.

Adenan.

“Hasil soal siasat lanjut juga mendapati motosikal disewa pada antara RM300 hingga RM500 sebulan manakala kereta pula antara RM500-RM1,000 mengikut jenis dan kapasitinya,” katanya kepada pemberita sebaik selesai operasi hari ini.

Tambah Adenan, secara keseluruhan sejak Januari hingga semalam, sebanyak 409 saman dikeluarkan terhadap pemandu warga asing selain 109 kenderaan milik mereka disita.

“Jadi kita nak ingatkan pemilik kenderaan supaya jangan sewenang-wenangnya membenarkan kenderaan persendirian digunakan oleh warga asing yang tidak memiliki lesen.

Adenan menunjukkan motosikal yang ditunggangi warga asing tanpa lesen yang disita pihaknya hari ini.

“Pelbagai risiko boleh berlaku sekiranya warga asing ini memandu atau menunggang kenderaan tanpa memiliki lesen sah dan terlibat dalam kemalangan.

“Isu ini serius kerana melibatkan nyawa pengguna jalan raya yang lain selain menimbulkan kebimbangan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast