AJK Bersatu Bersekutu Bersatu, Vasantha Kumar selepas menghantar memorandum kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM mengenai penyiasatan kes rasuah bernilai Rm97 juta berhubung pejerja asing di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 03 JULAI 2023.

PUTRAJAYA – Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya segera mendedahkan hasil siasatan skandal rasuah melibatkan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar dan lima pegawainya.

Ahli Jawatankuasanya, K. Vasantha berkata, sekiranya badan siasatan itu sudah mempunyai bukti kukuh maka SPRM perlu membuat pendakwaan di mahkamah seberapa segera.

“Saya yakin SPRM telah melengkapkan siasatan dan boleh meneruskan proses undang-undang seterusnya tanpa mengambil masa yang lama.

“Kita nampak kalau kes Jana Wibawa laju sahaja membuat pendakwaan terhadap pembangkang tetapi mengapa Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM) tidak membuat pendakwaan ke atas kes Sivakumar,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum tiga muka surat kepada SPRM di sini hari ini.

Menurut Vasantha, rakyat kini memerhati integriti dan komitmen SPRM dalam membasmi rasuah tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Jelasnya, siasatan perlu dilengkapkan oleh badan itu tanpa mengira bulu ataupun pengaruh luar.

“Sudah hampir 90 hari siasatan tetapi kita belum tahu apa hasil,” ujarnya.

Vasantha berkata, kelewatan pendakwaan terhadap Sivakumar di mahkamah akan menimbulkan ketidakyakinan rakyat terhadap suruhanjaya itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, penglibatan terus Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memberi pandangan berhubung Jana Wibawa melibatkan pembangkang adalah terlalu lantang.

“Sebaliknya kes rasuah melibatkan pro kerajaan khususnya ahli kabinet memberi gambaran pendakwaan terpilih,” katanya.

Sebelum ini SPRM menahan dua pegawai kanan Sivakumar susulan siasatan suruhanjaya itu membabitkan isu rasuah dalam sebuah agensi pengambilan pekerja asing pada April lalu.

Susulan itu, Sivakumar dilaporkan menggantung tugas tiga pegawai kanannya termasuk seorang setiausaha sulit dan seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK) yang ditahan SPRM.

PTTK itu dipercayai bertindak sebagai jurugegas (runner) bagi mengutip rasuah daripada ejen-ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pengambilan pekerja asing.

Selang beberapa hari, media melaporkan SPRM menggeledah pejabat dan kediaman Sivakumar.

Sepanjang proses siasatan, Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah hadir dua kali ke SPRM bagi memberi keterangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast