KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin memohon Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk membayar kos sebanyak RM50,000 seperti yang diperintahkan Mahkamah Persekutuan sebelum ini.
Wang itu diperintahkan oleh mahkamah untuk dibayar oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim susulan petisyen Pilihan Raya untuk membatalkan kemenangan Radzi tidak berjaya.
Isu itu dibangkitkan Radzi selepas Tengku Adnan mendakwa Pusat Khidmat Putrajaya Care yang diasaskan oleh pemimpin Parikatan Nasional (PN) itu menolak orang ramai yang datang bagi mendapatkan bantuan.
Radzi berkata, walaupun beliau tidak menerima dana daripada kerajaan persekutuan namun beliau bernasib baik kerana mampu mengendalikan pusat khidmat dengan bantuan serta sokongan pelbagai pihak.
“Hari ini saya dimaklumkan bekas Ahli Parlimen Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor, memuat naik hantaran di Facebook beliau menyatakan bahawa ‘Apabila ada orang nak bertemu dengan wakil rakyat Putrajaya, dia punya alasan dari pegawainya suruh ke Pusat Khidmat Masyarakat UMNO Putrajaya…..’.
“Allahu, Ku Nan. Cukup-cukuplah tu. Ingatlah, fitnah ni mudah di mulut tapi tidak mudah untuk dijawab di hari pengakhiran! Terimalah kekalahan dengan hati terbuka. Kalau ingin masih menongkat langit untuk bertanding dalam PRU16, bertandinglah secara sihat. Tidak perlulah memfitnah kononnya bila ada yang nak jumpa saya, Pusat Khidmat Putrajaya Care minta ke Pejabat UMNO!,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Menurut Radzi, walaupun beliau tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan namun Putrajaya Care sentiasa usahakan yang terbaik.
Katanya, sokongan jitu dan sumbangan ikhlas sahabat-sahabat seperjuangan serta dokongan kakitangan awam di pelbagai agensi banyak membantu dan memudahkan pihaknya memberi perkhidmatan kepada warga Putrajaya. – MalaysiaGazette
















