KUANTAN – ”Sudah terang lagi bersuluh. Janganlah jadi hero tidak kena tempat’.
Itu bidas Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli kepada Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui.
Wakil rakyat DAP itu diminta menghentikan tindakannya yang menjadi juara dan pembela pekebun haram durian Musang King di Raub yang sudah terbukti menceroboh tanah milik kerajaan negeri.
Haslihelmy berkata demikian mengulas kenyataan Penasihat Save Musang King Alliance (Samka) mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn. Bhd. (RPDR-PKPP) untuk membatalkan prosiding semakan kehakiman.
Menurutnya kenyataan tersebut, pekebun Durian Musang King menganggapnya sebagai kemenangan signifikan kepada mereka namun dianggap PSAP sebagai gimik politik murahan yang mengelirukan.
”Timbul persoalan, kemenangan apa yang dicapai pekebun terbabit? Ini kerana PSAP difahamkan kes masih berjalan dan perbicaraan sebenar belum pun lagi bermula.
”Ketika ini kes itu berlegar sama ada pekebun durian terbabit ada hak tidak membawa kes ke mahkamah dan membantah arahan kerajaan negeri.
”Adakah Yu Hui cuba mengelirukan orang ramai khususnya rakyat negeri ini dengan kenyataan sedemikian?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegas Haslihelmy, PSAP menyokong penuh usaha kerajaan negeri membanteras penerokaaan tanah haram yang rata-ratanya puluhan tahun dibuat dan berharap ia jangan dikompromi.
Menurutnya, lebih 17,000 ahli PSAP di seluruh negeri ini menyokong ketegasan kerajaan negeri dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam isu penerokaan tanah haram.
”PSAP berharap kerajaan Pahang dan Tok Wan (Wan Rosdy) akan terus konsisten di atas ketegasan yang dilaksanakan. Jangan berganjak ke belakang atas segala tekanan dan provokasi melampau pihak berkaitan termasuk terbaru yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Raub.
“PSAP akan terus memberikan dokongan padu kepada usaha kerajaan negeri,” katanya.
BACA: Pekebun Musang King dinasihat pertimbang semula tindakan mahkamah – MB
Pekebun Musang King: Keputusan mahkamah hanya berkaitan permohonan interlokutori
Terdahulu media tempatan melaporkan kenyataan Yu Hui berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan RPDR-PKPP untuk membatalkan prosiding semakan kehakiman yang dibawa oleh dua kumpulan pekebun durian Musang King di Raub pada Selasa lalu.
Semalam, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal menjelaskan, keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan berhubung kes itu hanya berkaitan permohonan interlokutori (bantahan awal) oleh pihak Royal Pahang Durian bukan keputusan untuk semakan kehakiman seperti dilaporkan.
Jelasnya, keputusan permohonan interleokutori berkenaan bagi pembatalan prosiding dengan alasan peguam pemohon (pekebun) gagal mengemukakan dokumen untuk mewakili semua pemohon. – MalaysiaGazette

















Hutan tanah tumpahnya darah PKM dianugerah hak warganegara tempatan susulan mematuhi arahan letak senjata dan bukannya letak ideology Komunis daripada Parti Komunis Pusat Tanah Besar Cina pada September 1988 muka tebal lurus bendul politikus Pak Pandir ooiii!