1MDB ringgit
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa kerajaan supaya memperincikan langkah-langkah yang perlu diambil dalam tempoh terdekat pada Belanjawan 2024 bagi mengekang nilai ringgit daripada terus merudum.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, hal ini kerana konflik Israel-Palestin telah pun memberikan impak kepada ekonomi dunia dan harga minyak.

Katanya, walaupun Israel dan Palestin bukan pengeluar minyak terbesar tetapi mereka adalah pintu masuk kepada Asia Barat.

“Harga minyak mentah Brent melonjak lebih daripada 5 peratus kepada AS89 setong apabila konflik meletus beberapa hari lepas. Hampir setahun memegang tampuk pemerintahan negara, nilai Ringgit kian jatuh ke paras terendah iaitu RM3.75 setiap 1 Dollar.

“Walaupun negara kita adalah pengeluar minyak dunia namun kebergantungan kita kepada bahan-bahan import menyebabkan harga bahan mentah bakal meningkat dengan mendadak. Akibatnya, harga makanan turut akan menerima tempias,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru Shahir berkata, pihaknya mencadangkan tiga langkah jangka pendek bagi mengukuhkan nilai Ringgit.

Pertama, katanya, kerajaan perlu pergiatkan kempen pembelian barangan buatan tempatan.

“Kedua, rancakkan pelancongan dalam negara dan Ketiga melaksanakan kawalan ringgit dengan pengeksport menukar hasil mereka dalam mata wang asing kepada ringgit. Ini semua adalah antara langkah yang dilihat mampu menyokong sementara permintaan terhadap ringgit,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya turut menyokong perjuangan rakyat Palestin yang mahukan keadilan daripada terus ditindas oleh regim Zionis.

Shahir Adnan

Di samping membantu menyalurkan bantuan kepada Palestin, negara juga perlu mengelak kebergantungan kepada proksi-proksi atau “tauke” besar yang pro-barat atau pro-zionis,” katanya.

“Oleh sebab itu, amatlah wajar untuk Kerajaan Madani meneliti kembali dasar-dasar import-eksport negara di samping mengukuhkan pasaran IKS dalam negara.

“Kerajaan perlu memberikan keutamaan kepada masalah rakyat kerana ramai yang terus terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi ketika ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast