Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu keputusan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan ke mahkamah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan terhadap Jasmine telah selesai sepenuhnya dan diserahkan kepada Peguam Negara untuk pertimbangan lanjut.

“Wanita itu disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah amanah. Kertas siasatan sudah diserahkan kepada AGC dan kita menunggu keputusan AGC untuk tuduh Jasmine (mahkamah).

“Pada masa sama, PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sedang berusaha ke arah mendapatkan kesemua aset-set serta harta dana 1MDB berjumlah RM93.2 juta termasuk di Singapura dan Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai perkembangan tangkapan bekas Pengurus Bank Goldman Sachs di Tingkat 31, Bukit Aman hari ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menerusi sidang media khas mengesahkan PDRM sudah menyita dan merampas sebahagian aset hasil penyelewengan dana 1MDB yang didaftarkan atas nama Jasmine.

Kesemua aset berkenaan yang merangkumi hartanah, akaun bank, lukisan, beg tangan berjenama mewah, jam tangan dan dokumen berkaitan yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM93.2 juta iaitu nilai semasa pembelian dibuat pada 2013.

Jasmine menerusi soal siasat oleh PDRM semasa dalam tahanan mengaku kesemua aset membabitkan pembelian hartanah dan barangan mewah New York, London dan Singapura serta pelaburan di AS didaftarkan atas nama beliau dan tidak membabitkan orang ketiga atau ahli keluarganya.

Penyitaan aset itu turut membabitkan sembilan lukisan mewah termasuk dua daripadanya lukisan Pablo Picasso.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast