KUALA LUMPUR – Jumlah penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dikhuatiri boleh meningkat sekiranya jumlah 419 individu berumur 25 hingga 34 tahun yang diisytihar muflis pada tahun ini tidak dibantu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, jumlah kes kebankrapan membabitkan golongan belia itu amat membimbangkan, apatah lagi ketika mereka baru memulakan hidup dan kerjaya pada usia terbabit.
“Kalau 419 orang bankrap pada tahun ini tidak diberikan intervensi, ia akan menjadi beban kepada negara dan jumlah penerima JKM akan terus meningkat.
“Oleh sebab itu kita perlukan intervensi dan Parlimen mula mengorak langkah untuk mencari jalan bagaimana kita boleh membantu golongan muda ini,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Konvensyen Literasi Kewangan Belia Kebangsaan 2023 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose.
Setakat Ogos 2023, Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan seramai sembilan individu di bawah 25 tahun muflis, manakala seramai 419 belia berumur antara 25 hingga 34 tahun muflis.
Seramai 5,695 kes kebankrapan direkodkan pada 2022 di mana pinjaman peribadi merupakan punca terbesar menyumbang kepada 46.8 peratus daripada punca-punca kebankrapan.
Antaranya pinjaman perniagaan, pinjaman perumahan, sewa beli dan kad kredit. – MalaysiaGazette

















dpt menteri semua cap ayam, rakyat makin susah la harga semua barang banyak naik.. tengok la menteri macam mat sabu,adam adli.. dulu bersuara macam harimau.. sekarang telok kedalam