KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengesahkan kesahihan sebuah klip video yang memaparkan pencemaran tangki air di sebuah kolej kediaman pelajar di kampusnya.
Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP), UMS berkata, kejadian tersebut berlaku terhadap salah satu tangki air di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae (KKTPAR).
Walau bagaimanapun, tangki yang terjejas adalah tangki dari sumber air melalui sistem telaga tiub, dan tidak menjejaskan sumber air yang disalurkan dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang menjadi sumber utama kegunaan harian para pelajar.
“Ekoran daripada kejadian tersebut, JPP telah mengarahkan kontraktor penyelenggaraan untuk mengosongkan tangki yang terlibat.
“Pihak JPP juga telah mengarahkan kontraktor penyelenggaraan agar sentiasa memantau setiap fasiliti bangunan di UMS bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan dan kesihatan khususnya kepada warga pelajar UMS,” katanya.
Pihak pengurusan UMS akan terus memantau perkembangan para pelajar di KKTPAR bagi memastikan kesihatan para pelajar tidak terjejas dan tidak mengganggu pembelajaran dan kehidupan seharian pelajar sepanjang berada di kolej kediaman. – MalaysiaGazette















