GAZA CITY – Israel didakwa berbohong dengan mendakwa pelarian yang berlindung di dalam Hospital al-Shifa selamat untuk keluar dan pergi ke selatan Gaza.
Seorang pakar bedah di hospital tersebut memberitahu Al Jazeera, beliau melihat sendiri satu sekeluarga ditembak oleh askar Israel ketika cuba keluar menggunakan pintu di sebelah timur kompleks perubatan terbesar di Gaza itu.
“Ia adalah satu pembohongan besar. Saya melihat lima sekeluarga di depan mata cuba berpindah dari timur semalam dan mereka ditembak. Jadi mereka kembali dalam keadaan cedera,” kata Dr Ahmad Mokhallalati.
Menurutnya, pihak Israel juga telah menghubungi pengarah hospital sehari sebelum semalam dan mengarahkan mereka berpindah.
“Tetapi dia meminta mereka membantu mengatur cara untuk memindahkan pesakit.
“Mereka tidak mempunyai rancangan dan keesokan harinya mereka menelefon dan berkata mereka tidak menyasarkan hospital.
“Jadi mereka orang Israel berkomunikasi dengan cara yang sangat buruk dan terus memanipulasi kami,” tambah Dr.Mokhallalati.
Israel sebelum ini mengumumkan pintu keluar di sebelah timur kompleks Al-Shifa adalah laluan selamat untuk melarikan diri ke selatan.
Pakar bedah itu turut mendakwa, pasukan tentera Israel telah mengepung pusat perubatan berkenaan dan menjadikan ia satu zon perang dengan keadaan di dalam hospital mengerikan dan semakin sukar.
“Kami hampir tidak dapat merawat pesakit di dalam hospital dan berada di tengah-tengah zon perang. Terdapat serangan udara berterusan dan dron berlegar di dalam kawasan hospital,” katanya.
Beliau berkata, sesiapa sahaja termasuk doktor yang bergerak di antara bangunan kompleks hospital juga berasa tidak selamat.
“Sehari sebelum semalam kira-kira jam 2 pagi, bekalan elektrik terhenti kerana beberapa isu. Jurutera yang pergi cuba membaikinya ditembak oleh dron dan cedera di lehernya. Anggota badannya lumpuh,” katanya.- Agensi
















