MANCHESTER – Manchester United melangkah ke suku akhir Liga Europa selepas menang tipis 1-0 hasil jaringan tunggal Juan Mata  ke atas FC Rostov, awal pagi tadi.

United mara menerusi kemenangan 2-1 secara agregat dan membawa kelab itu peringkat lapan terakhir kejohanan berkenaan buat kali pertama sejak 1985.

Bagaimanapun, kemenangan itu berdepan risiko tinggi pemain termahal dunia, Paul Pogba mengalami kecederaab hamstring pada awal babak kedua.

Skuad kendalian Jose Mourinho kini mengalih tumpuan memburu trofi seterusnya selepas menjulang Piala Liga yang dimenangi bulan lalu.

Kemenangan itu juga menjadi suntikan semangat selepas tewas 1-0 kepada Chelsea pada saingan Piala FA.

Pada perlawanan itu, United terpaksa berdepan lawan dari Russia yang kebal mempertahankan gawang mereka daripada dibolosi.

Namun, United akhir memecahkan kebuntuan pada minit ke-70 selepas Mata menyempurnakan hantaran lintang Henrikh Mkhitaryan.

Lawan United yang tidak pernah memenangi trofi Liga Europa sebelum ini akan diketahui selepas sesi undian peringkat suku akhir dijalankan hari ini di Nyon, Switzerland. – MalaysiaGazette