ISTANBUL – Jawatankuasa Menteri yang memantau pakatan OPEC tidak akan membincangkan lanjutan pelaksanaan pengurangan pengeluaran minyak pada mesyuarat tetap 24 Julai, kata Setiausaha Agung OPEC.

Mohammad Barkindo, yang bercakap kepada wartawan di Istanbul sebelum Kongres Dunia Petroleum berkata, perbincangan sedemikian terlalu awal, lapor Interfax.

Jawatankuasa Pemantau Mentadbir OPEC-Bukan-OPEC Bersama (JMMC), yang ditubuhkan untuk mengawasi perjanjian global mengenai keluaran minyak dijangka bertemu pada 24 Julai di Pettersburg.

OPEC dan sekutu-sekutunya bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran minyak kira-kira 1.8 juta tong sehari mulai Januari tahun ini sehingga Mac tahun depan dalam usaha meningkatkan harga minyak.

Tetapi harga minyak susut sejak Mei lalu berikutan pengeluaran minyak Amerika Syarikat dan negara yang tidak terikat pada perjanjian itu melonjak.

Pengeluaran minyak dari dua ahli OPEC, Nigeria dan Libya juga meningkat.

Menteri-menteri dari Arab Saudi, Rusia dan beberapa pengeluar utama sebelum ini berkata tidak perlu pendekatan tambahan untuk menyokong harga minyak.

Tetapi Menteri Tenaga Rusia pada Jumaat lalu memaklumkan Rusia sedia mempertimbangkan cadangan-cadangan termasuk menyemak semula perjanjian jika perlu.

Menteri Tenaga Rusia, Alexander Novak memberitahu Reuters minggu lalu bahawa JMMC akan berbincang pelaksanaan perjanjian dan situasi pasaran, mempunyai kuasa untuk mencadangkan ‘sebarang keputusan’ kepada para peserta industri. – MalaysiaGazette