Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bersorak sambil diiringi Pengerusi Bahagian Perhubungan UMNO Selangor, Perumahan Tan Sri Noh Omar (tiga kanan) pada Majlis Perasmian Penutupan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 18 Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 06 OGOS 2017

SHAH ALAM – Dakwaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjumpa dengannya meminta sokongan untuk menggulingkan Perdana Menteri adalah satu fitnah semata-mata.

Perkara itu diakui sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sambil menyifatkan dakwaan itu tidak berasas kerana beliau lebih mengenali dan mempunyai hubungan rapat dengan Ahmad Zahid ketika bergelar Ketua Pemuda UMNO.
“Sebab itu tak masuk akal lepas dia (Zahid) jadi Timbalan Perdana Menteri, dia nak jumpa Tun M minta sokongan supaya gulingkan saya, tak mungkin dan tak betul, satu fitnah sama sekali.
“Datuk Zahid dan saya bukan baru, dia sudah bersama saya sejak 1986, saya pernah pertahankan dia di Bagan Datoh. Saya pertahankan dia sebab dia rakan saya, sahabat dalam perjuangan, tahu susah senang,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan video Mahathir pada 31 Julai lalu yang mendakwa Ahmad Zahid pernah menemuinya apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk menyokong beliau untuk menggulingkan Perdana Menteri.
Najib juga mendedahkan Mahathir pernah menyalahgunakan jawatan Perdana Menterinya untuk memberi tekanan ke atas Ahmad Zahid ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
“Dia (Mahathir) kata kalau orang lain ini gila kuasa, Tun M ini apa yang tak guna, apa senjata dia tak guna,
“Maknanya guna kuasa sepenuhnya, beri tekanan bagai meletak pistol di kepala dia (Ahmad Zahid). Sebab itu Datuk Zahid tak lupa dia cakap,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Comments are closed.