Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Nogeh Gumbek (tengah) mengatakan sesuatu kepada sebahagian jemputan kenamaan sambil diperhatikan Pengerusi Sphere Exhibits Malaysia Sdn Bhd, Chua Wee Phong (dua kiri) ketika melihat aplikasi ‘Verify Halal’ yang dilancarkannya sempena Pameran Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 09 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Walaupun Malaysia kaya dengan tanah dan sumber asli, tetapi negara ini masih bergantung pada import makanan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Nogeh Gumbek.

Beliau berkata, dalam tempoh 10 bulan pertama tahun lepas iaitu hingga Oktober, jumlah nilaian import negara mencatatkan RM38.1 bilion.

Ini katanya, menunjukkan Malaysia masih bergantung pada import makanan untuk memenuhi keperluan penduduknya.

“Bagaimanapun, katanya kerajaan melalui kementeriannya telah melakukan beberapa langkah agresif dan usaha yang lebih mampan agar sikap terlalu bergantung kepada import dapat dikurangkan.

“Malaysia sentiasa menjadi negara perdagangan dan antara pemain utama dalam perdagangan produk pertanian di pasaran antarabangsa,” katanya berucap melancarkan aplikasi ‘Verify Halal’ sempena Pameran Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Sphere Exhibits Malaysia Sdn. Bhd,, Chua Wee Phong.

Menurut Nogeh, dalam bidang pembangunan produk pertanian pula, kerajaan menawarkan tiga kelebihan daya saing utama kepada syarikat makanan dan minuman.

Pertama, kata beliau, Malaysia akan menjadi pusat yang ideal untuk aktiviti nilai tambah tinggi dalam penyelidikan dan pembangunan produk baru.

“Kedua, kita menawarkan infrastruktur yang baik dan kecekapan pengeluaran yang tinggi, walaupun banyak pengeluar tempatan telah menubuhkan kemudahan pembuatan di rantau ini, tetapi mereka terus menggunakan negara ini sebagai pangkalan mereka untuk produk utama masing-masing.

“Ketiga, ialah piawaian kualiti dan keselamatan yang ketat di Malaysia serta pensijilan halal telah membantu menjadikan eksport kita pilihan pembeli, sekali gus memudahkan kemasukan ke pasaran baru,” ujarnya.

Pada majlis itu, beliau melancarkan aplikasi Verify Halal menggunakan telefon pintar.

Aplikasi itu dibangunkan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan syarikat Serunai Commerce.

Jelas Nogeh, kementeriannya bangga dapat bersama Jakim memperkenalkan Standard Halal Malaysia yang diterima secara global untuk berkongsi perkembangan baharu dalam arena halal.

“Untuk memuatnaik aplikasi ini, pengguna hanya perlu mengimbas kod bar produk menerusi kamera telefon pintar dan ia secara automatik berfungsi untuk memaparkan jenama antarabangsa yang halal.

“Aplikasi ini bukan hanya berkaitan dengan pangkalan data Jakim, tetapi juga menyediakan maklumat produk halal yang diperakui oleh Badan Persijilan Halal Luar Negeri yang diiktiraf oleh Jakim dari seluruh dunia,” katanya. – MalaysiaGazette