Aksi pemain Malaysia, Muhammad Safawi Rasid (tengah) ketika perlawanan pertama menentang Brunei pada Kejohanan Sukan Sea KL 2017 di Stadium Shah Alam, Selangor. foto SAFWAN MANSOR, 14 OGOS 2017

PETALING JAYA – Ketua jurulatih pasukan bola sepak Sukan SEA negara, Datuk Ong Kim Swee memberitahu anak buahnya bersedia sepenuhnya bagi menghadapi pasukan Indonesia dalam saingan separuh akhir di Stadium Shah Alam malam ini.

Memetik laporan Sinar Online, menurut beliau kesemua pemain ketika ini berada dalam tahap terbaik bagi menghadapi skuad Garuda itu.

“Saya percaya pemain tahu apa yang perlu mereka lakukan apatah lagi bermain dengan Indonesia yang bukan calang-calang pasukan.

“Tidak banyak yang saya lakukan untuk beri semangat kepada pemain kerana saya tahu motivasi pemain akan terus naik selepas melihat suasana penyokong dalam stadium.”

Walau bagaimanapun, Kim Swee menyifatkan perlawanan yang bakal berlangsung beberapa jam lagi dari waktu ini, akan menjadi perlawanan paling sengit berikutan prestasi skuad Garuda itu yang meningkat kebelakangan ini.

“Indonesia yang sekarang sudah banyak berbeza berbanding ketika kita menang dengan mereka 3-0 pada kelayakan AFC di Bangkok lalu. Malah kesemua pemain mereka juga perlu diberikan perhatian kerana mereka mempunyai kualiti yang baik.

“Apa yang boleh saya katakan, kita perlu beri lebih daripada yang kita mampu untuk menang perlawanan ini,” katanya.

Malaysia yang menjuarai Kumpulan A akan berdepan Indonesia di Stadium Shah Alam, malam ini. – MalaysiaGazette