Foto Laman Web KL2017

KUALA LUMPUR – Apa sudah jadi badminton perseorangan lelaki?

Beraksi tanpa pemain utama, Datuk Lee Chong Wei, pingat emas bukan lagi milik Malaysia pada Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Saingan badminton di Arena Axiata Bukit Jalil menyaksikan Malaysia hanya memenangi satu emas menerusi pemain berusia 17 tahun, Goh Jin Wei dalam perseorangan wanita, satu pencapaian yang dianggap hambar bagi sebuah kuasa badminton seperti Malaysia.

Sambil mengucap tahniah kepada Jin Wei kerana kejayaan emas, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Norza Zakaria berkata, Malaysia boleh melakukan yang lebih baik jika tidak kerana persembahan mengecewakan dalam saingan perseorangan.

“Saya ucapkan tahniah kepada Jin Wei kerana menang emas dan juga Soniia Cheah kerana layak ke perlawanan akhir.

“Bagaimanapun, pemain-pemain perseorangan lelaki kita masih mengecewakan. Terdapat juga kecenderungan di kalangan pemain kita yang tidak mampu memenangi perlawanan.

“Menangani saat penting dan genting menjadi masalah kepada mereka,” katanya di laman web KL2017.

Malaysia menamatkan saingannya dalam pertandingan badminton pada Sukan SEA ke-29 dengan satu pingat emas, empat perak dan dua gangsa berbanding dua pingat emas, empat perak dan dua gangsa di Singapura dua tahun lepas.

Cabaran negara untuk mempertahankan pingat emas acara perseorangan lelaki Sukan SEA berakhir apabila kedua-dua wakil negara tersingkir awal.

Iskandar Zulkarnain Zainuddin, 26 tahun, terpaksa akur apabila tewas dalam perlawanan sengit peringkat suku akhir kepada pemain Vietnam, Tien Minh Nguyen.

Pemain muda negara, Lee Zii Jia pula terlebih dahulu ditunjukkan jalan keluar pada pusingan kedua sekali gus menutup peluang Malaysia mempertahan pingat emas yang diperoleh di Singapura, dua tahun lalu.

Skuad badminton lelaki negara hanya meraih pingat perak setelah tewas 0-3 kepada Indonesia dalam perlawanan akhir berpasukan lelaki. – MalaysiaGazette