Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak

KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak digantung empat perlawanan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), sekali gus terlepas baki tiga perlawanan aksi kelayakan Piala Asia 2019.

Penggantungan terhadap pemain Johor Darul Ta’zim oleh Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC kerana mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya kepada pengadil dari Australia, Christopher Beath ketika Malaysia seri 1-1 menentang Hong Kong dalam aksi kelayakan tersebut di Stadium Hang Jebat, pada 15 September lalu.

AFC dalam laman web, www.the-afc.com, menyebut pemain berkenaan juga didenda US$5,000 (RM21,040) kerana melanggar Artikel 50.1 iaitu kesalahan mencemarkan permainan.

Keputusan penggantungan itu menyaksikan Aidil Zafuan tidak akan beraksi di tempat lawan melibatkan pertemuan antara Malaysia dan Korea Utara di Pyongyang pada 5 Oktober ini, Hong Kong (10 Oktober) dan aksi menentang Lubnan di Beirut pada 27 Mac 2018.

“Satu lagi penggantungan perlawanan akan dijalankan seterusnya mengikut Artikel 38.2.1 Kod Disiplin dan Etika AFC,” kata AFC, sambil mengingatkan pemain berkenaan bahawa hukuman lebih keras akan dikenakan ke atasnya jika mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

Malaysia menghuni tangga tercorot Kumpulan B selepas mengutip satu mata selepas dua perlawanan.- MalaysiaGazette