KUALA LUMPUR – Seperti yang telah digariskan dalam 12 perkara Pelan Pemulihan MAS (MRP), Khazanah Nasional Bhd. menyokong dan meluluskan pelantikan Kapten Izham Ismail sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd. (MAB).

Sayap pelaburan negara yang juga pemilik 100 peratus kepentingan dalam MAB itu berkata, pelantikan tersebut adalah susulan resolusi yang dibuat oleh ahli-ahli lembaga pengarah syarikat penerbangan berkenaan selepas berunding dan mendapat perkenan Pengerusi Khazanah Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“MRP yang dilancarkan Khazanah pada 29 Ogos 2014 menyediakan pelan pembangunan dan penggantian kepimpinan yang mahu menjadikan bakat tempatan sebagai komponen utama usaha penstrukturan secara keseluruhan.

“Dalam hal ini, pelantikan Kapten Izham adalah sejajar dengan pelan tersebut dan beliau yang mempunyai pengalaman luas selama 38 tahun dalam industri penerbangan telah memainkan peranan penting di dalam melaksanakan pelan pemulihan Malaysia Airlines.

“Pelantikan beliau sebagai GCEO akan memastikan kesinambungan progress keseluruhan pelan selama lima tahun itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – MalaysiaGazette