Dr. Mahathir Mohamad

PETALING JAYA – Pakatan Harapan sehingga hari ini masih enggan berkongsi isu calon perdana menteri sebaliknya memaklumkan perkara itu hanya akan diumumkan pada konvensyen parti itu Ahad ini.

Walaupun diasak beberapa kali oleh pemberita dengan soalan tersebut namun Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad kekal berteka-teki.

“Anda akan dengar perkara itu ketika konvensyen nanti.

“Ini bukan masanya untuk kita umumkan. Kita akan buat kesemua pengumuman termasuk perancangan masa datang ketika konvensyen. Jadi, sila datang.

“Ketika konvensyen. Kita sudah katakan berkali-kali di konvensyen,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PPBM.

Terdahulu Dr M mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pamatan Harapan yang berlangsung lebih tiga jam bermula pukul 4 petang.

Beliau dalam masa sama enggan mendedahkan sama ada isu berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

Cadangan meletakkan Tun M sebagai calon perdana menteri manakala Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai Timbalannya dibuat dalam permukiman gabungan itu di Putrajaya sebelum ini.

Namun ianya mendapat tentangan daripada beberapa pemimpin Pakatan Harapan selain PKR yang memaklumkan menunggu keputusan daripada Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini pula berkata, seharusnya isu calon perdana menteri dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Presiden terlebih dahulu sebelum dimuktamadkan.

Ditanya berkenaan calon Pakatan Harapan bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Dr Mahathir berkata, pededahan awal tidak akan dilakukan bagi mengelakkan pergaduhan sesama sendiri.

“Calon-calon lambat lagi. Kita nak tahu bila PRU14 dulu. Tapi kita tak beritahu calon sekarang supaya mereka tak bertumbuk,” ujarnya. -MalaysiaGazette