Wakil Artis, Wan Aishah Wan Ariffin memberi ucapan di Konvensyen Pakatan Harapan di IDCC Shah Alam, Selangor. foto IMRAN FAKHRI, 07 JANUARI 2018

SHAH ALAM- Juara Gegar Vaganza 4, Aishah mahu Pakatan Harapan (PH) tidak menggunakan artis semasa kempen sahaja tetapi mahu wakil anak seni sebagai pemimpin sekiranya memenangi PRU-14.

“Bawa saya nanti dalam pemerintahan,” seloroh penyanyi yang juga merupakan ahli Parti Amanah Negara pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Aishah atau Wan Aisyah Wan Ariffin semasa berucap ketika slot Pentas Rakyat semasa konvensyen itu berharap agar golongan artis yang ‘mesra’ pembangkang dan yang bergiat aktif dalam politik sebelum ini tidak diketepikan.

“Jangan lupa para artis bila da memerintah. Janganlah masa kempen sahaja ajak artis. Bila sudah memerintah ada bajet, lupakan kami,” katanya.

Beliau selain itu menyeru artis agar mengikuti perkembangan dalam bidang politik selain seni dan berani menyuarakan pendapat.

“Bagi saya saya bersyukur bila ada artis berani bersuara.. itu maknanya artis ada sel-sel berhubung. Kita sepatutnya hormati pendapatnya,” katanya yang dipercayai merujuk kepada kenyataan pelakon Fathia Latiff baru-baru ini.

“Sampaikan artis bersuara tentang kos kehidpuan sahaja dikatakan “engkau pergi betulkan lakonan kau”. Habis itu penyanyi buat apa? 24 jam menyanyi?

“Saya seru kepada rakan artis kena ambil tahu kerana setiap keputusan politik ada kesan.. Kena ambil tahu. Kita semua akan rasa kesan daripada keputusan politik,” tambahnya.

Pada akhir ucapannya, Aishah sempat mendendangkan lagu Bahtera Merdeka di hadapan semua perwakilan dan pimpinan PH yang hadir.- MalaysiaGazette

Wakil Artis, Wan Aishah Wan Ariffin ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan di IDCC Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2018.