Rodrigo Duterte
Rodrigo Duterte

MANILA – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang tidak pernah ‘kering’ dengan kontroversi berdepan dengan kemarahan rakyatnya sekali lagi.

Kali ini, majoriti penduduk Filipina yang beragama Kristian marah apabila secara lantang beliau menggelar tuhan sebagai ‘bodoh’ tanpa langsung memikirkan sentimen atau perasaan penduduk negara itu.

Agensi berita melaporkan, beliau dengan selamba mempertikaikan kitab Injil bagaimana tuhan mencipta Adam dan Hawa yang mampu tergoda dengan pelbagai perkara.

“Siapa tuhan yang bodoh ini. Kamu mencipta sesuatu yang sempurna tetapi kemudian dedahkan ia dengan pelbagai godaan sehingga menjejaskan kualiti kerja kamu,” katanya dalam satu ucapan di gereja.

Ucapan tersebut kemudian mendapat tentangan serta kritikan keras penduduk Kristian di negara itu termasuk pemimpin utama gereja.

Antaranya, Biskop Pablo Virgilio David yang ternyata kesal bagaimana seorang pemimpin nombor satu negara seperti beliau mampu berkata demikian serta terlepas begitu sahaja.

“Bagaimana beliau boleh jadi presiden kepada semua rakyat Filipina sekiranya beliau sendiri tidak hormat kepada kepercayaan Katolik,” soalnya.

Duterte bagaimanapun mempertahankan kenyataannya dengan mengatakan ia tidak memberikan kesan, bagaimanapun selang beberapa jam kemudian jurucakapnya membuat pengumuman akan mengadakan sesi dialog dengan kumpulan agama.

Sesi dialog itu bertemakan bagaimana untuk mengurangkan pergeseran antara kerajaan dan gereja pada masa hadapan agar pertuturan sebegini tidak berulang. – MalaysiaGazette