Tan Sri S.A. Vigneswaran
Tan Sri S.A. Vigneswaran

KUALA LUMPUR – MIC mengesahkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, kata Presidennya Tan Sri S. A Vigneswaran.

Beliau berkata ketetapan itu dibuat selepas beberapa kenyataan media oleh anggota UMNO yang mencadangkan calon parti itu untuk bertanding meskipun ia merupakan kerusi tradisi MIC selama empat penggal berturut-turut di kawasan yang sebelum ini dikenali sebagai Teluk Kemang.

Beliau mendakwa Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berminat untuk meletakkan calon parti itu bagi merebut kerusi yang bakal ditandingi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami tidak akan masuk campur kerana sepatutnya sebarang keputusan hendaklah dicapai sebulat suara oleh Barisan Nasional (BN) dan bukan melalui kenyataan media.

“Memandangkan UMNO sudah membuat keputusan biarlah mereka buat apa yang mereka suka. Kami berkecuali daripada pilihan raya kecil itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti di sini, hari ini.

Semalam, Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkata calon sesuai bertanding di kerusi itu ialah anak tempatan berbanding calon luar namun sebarang keputusan akan dimuktamadkan oleh BN dalam masa terdekat.- BERNAMA