KUALA LUMPUR – AirAsia melancarkan pernerbangan terus dari Kota Kinabalu ke Kunming bermula 30 November 2018.

Penerbangan empat kali seminggu tersebut menandakan laluan keempat Kumpulan AirAsia ke ibu kota wilayah Yunnan selepas Kuala Lumpur, Malaysia serta Bangkok dan Phuket, Thailand.

Ia juga merupakan laluan antarabangsa ke-10 AirAsia dari hab Kota Kinabalu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, laluan baharu ini juga merupakan komitmen syarikat untuk terus mengembangkan Kota Kinabalu sebagai habAirAsia di Sabah.

“Kami telah melancarkan tiga laluan antarabangsa dari Kota Kinabalu pada tahun ini ke Bangkok, Macao dan kini Kunming. Kami juga akan menggandakan penerbangan dari Kota Kinabalu ke Shenzhen bermula 1 November 2018.

“Sehingga kini, kami telah membawa lebih daripada 700,000 orang tetamu antara China dan Kota Kinabalu, dan kami yakin laluan baharu ini akan meningkatkan lagi kedatangan pelancong,” katanya.

Sempena pelancaran itu AirAsia menawarkan tambang termasuk semua untuk ahli daripada RM138 dari Kota Kinabalu-Kunming, yang tersedia di airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia.

Promosi itu bermula hari ini hingga 28 Oktober 2018 untuk tempoh perjalanan antara 30 November 2018 dan 30 Mac 2019. – MalaysiaGazette