Sehingga jam 11.30 pagi ini sebanyak 46,308 tandatangan dikumpul sebagai tanda bantahan terhadap cadangan ratifikasi ICERD oleh kerajaan PH.
Sehingga jam 11.30 pagi ini sebanyak 46,308 tandatangan dikumpul sebagai tanda bantahan terhadap cadangan ratifikasi ICERD oleh kerajaan PH.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO, peguam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah pendekatan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi jurucakapnya, Senator P. Waytha Moorthy cuba untuk meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Rata-rata mereka menyifatkan cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebagai keterlaluan dan biadab kerana ada usaha terancang untuk membelakangi Majlis Raja-Raja Melayu, Perlembagaan Persekutuan dan mencetuskan kemarahan orang Melayu.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Subang, Aiman Jaafar mengecam keras pendekatan itu dan menyeru rakyat Malaysia untuk sama-sama membantah usaha kerajaan PH untuk menafikan hak keistimewaan orang Melayu, Raja Melayu dan Perlembagaan.

Katanya, ICERD sepatutnya berunding terlebih dahulu dengan pihak berkaitan, bukan terus membuat kenyataan yang boleh mengganggu ketenteraman awam, iaitu membangkitkan kemarahan rakyat.

“Tiada perbincangan, tiada perundingan awam, tiba-tiba mereka (P. Waytha Moorthy) mahu membelakangi Majlis Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Sebelum ini, Waytha Moorthy dilaporkan berkata, kerajaan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Seorang peguam, Lukman Sheriff pula berkata, beliau tidak boleh menerima cara ratikasi ICERD itu dilakukan tanpa perdebatan dan perundingan awam.

Ujarnya, dalam bentuk sedia ada ICERD jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya dengan ini memulakan bantahan pengratifikasian ICERD. Saya memohon saudara sekelian untuk mendaftar, sebar dan kongsikannya kenyataan menteri itu berkenaan usaha ICERD untuk menghapuskan hak ketuanan Melayu.

“Saya sedih melihat perkembangan ini. Tiada wacana, tiada perundingan awam dan paling utama tiada perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.

“ICERD ini bercanggah dengan perlembagaan kita, mereka mahu menghapuskan kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, UMNO, MCA dan parti berasaskan bangsa, tidak ada siapa pun bersuara dan bangkit.

Sementara itu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Johor Bahru menyatakan, ratifikasi ICERD akan menyebabkan Artikel 153 yang memberi kedudukan istimewa kepada orang Melayu dan Bumiputera dihapuskan.

Ini, katanya, termasuk penutupan Majlis Amanah Rakyat (MARA); Maktab Rendah Sains Mara (MRSM); Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan penghapusan Tanah Rizab Melayu.

ISMA mengajak orang Melayu beramai-ramai menyatakan rasa tidak puas hati dengan ratifikasi ICERD menerusi petisyen yang telah disebarluaskan kepada semua pihak. – MalaysiaGazette