4.0
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media sambil diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking (kiri) pada Pelancaran Dasar Industri 4.0 Nasional di Menara MITI, Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 31 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Malaysia hanya akan menandatangani ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) selepas berunding dengan semua kaum yang ada di negara ini terlebih dahulu.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, isu tersebut bukan sesuatu yang mudah kerana rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum.

“Kita akan tandatangan selepas berunding dengan semua kaum di Malaysia.

“Saya ada sebut perkara ini dalam ucapan saya yang bukan mudah bagi Malaysia (untuk tandatangan ICERD) kerana di sini ada pelbagai kaum dan masing-masing sensitif terhadap perkara-perkara tertentu,” katanya ketika diminta mengulas pendirian kerajaan berhubung isu itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy sebelum ini memberitahu, kerajaan komited untuk meratifikasi enam perjanjian termasik ICERD pada suku pertama tahun hadapan.

Ia merupakan salah satu manifesto Pakatan Harapan bagaimanapun mendapat bantahan oleh banyak pihak kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan terutama yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai Ketuanan Melayu, Dr. Mahathir berkata, tiada guna untuk bercakap mengenai perkara tersebut sekiranya orang Melayu masih menjadi kuli.

“Saya hendak beritahu orang Melayu, tidak guna bercakap mengenai Ketuanan Melayu kalau kamu bekerja sebagai kuli orang.

“Kalau hendak jadi tuan, boleh jadi tuan tetapi kena ada ilmu, kena rajin bekerja, kena buat baik, jangan menipu dan mencuri,” katanya.

Ahad lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan Pakatan Harapan akan menamatkan era Ketuanan Melayu.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkata, kerajaan baharu akan berubah kepada perkongsian kekayaan bagi memastikan agihan ekuiti dan kekayaan merangkumi semua kaum.-MalaysiaGazette

Kerajaan ratifikasi enam triti hak asasi suku pertama tahun depan

Ratifikasi ICERD matikan Perkara 153 – Perkasa

Pemuda UMNO, NGO, peguam bantah ratifikasi ICERD

Mengapa cadangan ratifikasi ICERD tidak rujuk Majlis Raja-Raja? – MPM

ARMADA selar kenyataan Waytha Moorthy

Kerajaan jamin Ratifikasi ICERD tidak jejaskan Perkara 153