Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan bersama Wanita PKR & AMK PKR di Dewan Sivik, MBPJ. foto SAFWAN MANSOR, 19 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Keputusan terbaharu pemilihan PKR di Sarawak dan Kuala Selangor yang amat memberangsangkan untuk Datuk Seri Mohamad Azmin Ali disambut dengan ucapan penuh kesyukuran oleh penyandang jawatan Timbalan Presiden itu.

Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi turut mengucapkan terima kasih kepada anggota PKR yang telah memberi sokongan kepadanya

“Alhamdulillah dan syukur. Terima kasih kepada semua anggota KEADILAN yang bersama membingkai muafakat untuk meneruskan agenda reformasi tulen,” katanya di laman Twitter.

Hari ini Azmin mengatasi pencabarnya Rafizi Ramli  dalam pemilihan di cabang Kuala Selangor dengan memperoleh 982 undi sementara Rafizi 389 undi.

Ini menjadikan undian terkumpul diperoleh Azmin di kesemua 22 cabang di Selangor berjumlah 19,435 undi manakala Rafizi yang juga naib presiden PKR memperoleh 15,434 undi.

Selain Kuala Selangor, Mohamed Azmin mendapat sokongan dari 15 cabang lain, di Sabak Bernam, Sungai Besar, Serdang, Subang, Kota Raja, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Petaling Jaya (PJ) Utara, PJ Selatan, Tanjong Karang, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat.

Mohd Rafizi pula memperoleh sokongan daripada enam cabang melibatkan Hulu Selangor, Kelana Jaya, Kapar, Klang, Puchong dan Selayang.

Selangor yang dikatakan ‘kubu kuat’ kepada Mohamed Azmin yang merupakan bekas menteri besar Selangor itu, mempunyai keanggotaan paling ramai disahkan layak mengundi sebanyak 249,850 orang.

Di Sarawak, Azmin turut memperoleh sokongan padu apabila menang di 23 daripada 28 cabang dan memperoleh majoriti 2,136 undi.

Keputusan pemilihan di satu cabang iaitu Julau bagaimanapun digantung disebabkan kemungkinan berlakunya serangan siber dan sistem pemilihan yang diceroboh.

Azmin menang di Cabang Batang Lupar, Bandar Kuching, Lanang, Batang Sadong, Saratok, Lawas, Baram, Kanowit, Kota Samarahan, Bintulu, Selangau, Mukah, Mas Gading, Hulu Rajang, Lubok Antu, Betong, Stampin, Sri Aman, Puncak Borneo, Sarikei, Petra Jaya, Santubong dan Sibu.

Rafizi hanya menang di Serian, Sibuti, Miri, Limbang dan Kapit. – MalaysiaGazette