Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa bercakap kepada media pada sesi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 29 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengambil mudah mengenai kes penyelewengan wang Tabung Haji (TH).

Menurut beliau, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melakukan penyelewengan apatah lagi jika ia melibatkan wang rakyat.

“Selaku menteri yang bertanggungjawab menjaga agensi ini, isu ini tidak akan didiamkan dan saya yakin pihak polis akan menjalankan siasatan secara terperinci.

“Sekiranya pihak terbabit didapati bersalah, mereka perlu dibawa ke muka pengadilan bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Lembaga Tabung Haji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Tabung Haji membuat dua laporan polis terhadap beberapa bekas pihak pengurusan badan itu berhubung penyaluran dana politik.

Dalam laporan polis pertama, menyebut dana sejumlah RM22 juta dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik yang berkaitan dengan Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017.

Laporan kedua adalah mengenai amalan salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting membabitkan penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang dua anak syarikatnya iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) untuk AS$910 juta (RM3.8 billion) pada 2012.

“Saya yakin pihak berkuasa akan bertindak mengikut undang-undang terhadap bekas pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji iaitu bekas pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Rahim; dua bekas ketua pegawai eksekutif (CEO), Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani; Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar; Penasihat Undang-Undang, Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md Ariff.

Untuk rekod, dua laporan polis telah dibuat pihak TH iaitu berhubung Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017, apabila dana sejumlah RM22 juta dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengesahkan pihakya telah menerima kedua-dua laporan berkenaan.

Setakat ini pihaknya membuat kertas siasatan mengikut Seksyen 420 dan 409 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette