Bangunan Perdana Putra (PMO). foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Hari ini Jumaat. Secara tradisinya bagi kerajaan Pakatan Harapan, Jumaat merupakan hari penting di mana semua anggota Jemaah Menteri akan bermesyuarat bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Satu ketika dahulu mesyuarat Kabinet berlangsung setiap Rabu pagi, maka sebelah petangnya akan dilangsungkan pula mesyuarat pasca Kabinet di setiap kementerian.

Isu-isu penting yang diputuskan dalam mesyuarat Kabinet akan terus disusuli dan diperhalusi dalam mesyuarat yang semestinya dipengerusikan pula oleh menteri  berkaitan.

Selepas selesai mesyuarat peringkat ini, kebiasaannya sidang akhbar akan diadakan untuk memaklumkan perkara-perkara yang diputuskan Kabinet serta tindakan susulan yang telah dirancang oleh kementerian.

Jika diamati perkembangan terkini, dua isu yang pastinya akan dibincangkan oleh mesyuarat Kabinet hari ini. Sementelah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman sendiri telah berjanji untuk membangkitkan perihal pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Bukan Syed Saddiq seorang yang ‘terkesan’ dengan kegelisahan para peminjam PTPTN apabila kadar baru pembayaran balik diumumkan oleh pengerusi perbadanan itu, Wan Saiful Wan Jan kelmarin. Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai lagi turut bersuara.

Mereka faham gejolak di hati peminjam dan mahu supaya keputusan PTPTN dibincangkan semula supaya setiap langkah yang diambil memberikan kedudukan menang-menang kepada peminjam, PTPTN dan majikan yang turut berbabit dalam mekanisme baharu diperkenalkan perbadanan itu.

Tentunya isu PTPTN yang menimbulkan reaksi amat besar sehingga Facebook perbadanan itu ‘diserang’ tidak boleh dipandang ringan. Rata-rata peminjam bukan tidak mahu membayar malah ramai kalangan mereka menunaikan tanggungjawab membuat pembayaran balik dengan penuh disiplin.

Namun, pengumuman kelmarin ternyata menyentap komitmen yang ditunjukkan selama ini kerana kadar pembayaran balik yang tinggi turut menjejaskan poket peminjam kerana mereka juga mempunyai pelbagai tanggungjawab yang perlu dilunaskan.

Timbul juga persoalan, sudahkah PTPTN duduk berbincang dengan semua pihak yang berkepentingan terutamanya majikan sebelum membuat pengumuman mekanisme baru. Jika dilihat dari reaksi Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), nampaknya tiada perbincangan dilangsungkan.

Keadaan itu menyebabkan majikan agak kelabu dan tercari-cari mekanisme yang perlu dilaksanakan pula di pihak mereka.

Timbul juga kecelaruan apabila PTPTN mengatakan bahawa akta perbadanan itu membenarkan potongan gaji dibuat tetapi pada masa yang sama Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran menegaskan bahawa akta yang sama tidak membenarkan perkara itu dilaksanakan.

Kulasegaran mencadangkan supaya akta PTPTN dipinda terlebih dahulu sebelum mekanisme baru dapat dikuatkuasakan. Tetapi pihak PTPTN bertegas bahawa apabila peminjam menandatangani perjanjian bermakna mereka bersetuju dengan peraturan baru dan perjanjian lama terbatal. ,

Oleh kerana isu PTPTN ini berkepentingan ramai, tentunya satu keputusan yang menepati keperluan mereka perlu dibuat dalam mesyuarat Kabinet hari ini. Keputusan itu penting untuk memutihkan segala yang kelabu dan menjernihkan suasana yang berkocak sekarang ini.

Satu lagi isu yang menarik perhatian adalah hubungan Malaysia Singapura yang sering sahaja disimpulkan sebagai love hate relationship. Benci tapi rindu, dekat tapi jauh.

Selepas agak tenang untuk tempoh beberapa tahun, pertikaian sempadan maritim dan udara yang hakikatnya tidak pernah berkesudahan timbul semula.

Malaysia dan Singapura biasa bertemu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague untuk isu-isu tuntutan bertindih, justeru perkembangan terbaharu ini bukanlah sesuatu yang pelik namun ia perlu ditangani secara bijak.

Jika hubungan Malaysia Singapura diibaratkan seperti kembar maka tentulah setiap apa yang berlaku walaupun sekelumit akan dapat dirasai oleh rakyat kedua-dua negara. Kegagalan menanganinya secara berkesan boleh saja mencetuskan kebimbangan kerana Malaysia Singapura berkongsi banyak perkara terutama berkaitan aspek keselamatan.

Apatah lagi apabila Singapura secara terbuka membuat dakwaan bahawa kapal-kapal kerajaan Malaysia berterusan menceroboh perairan wilayahnya di Tuas. Negara itu siap memberikan angka pencerobohan membuktikan pergerakan Malaysia sentiasa diawasi rapi.

Kenyataan Menteri Pengangkutan republik itu, Khaw Boon Wan seperti yang disiarkan Bernama menyebut bahawa Singapura telah membantah penceroboh berulang menerusi tiga Nota Pihak Ketiga.

Adakah Malaysia peka dengan nota tersebut dan apa pula reaksi Malaysia terhadap bantahan Singapura tidak pula dinyatakan.

Khaw menyifatkan perkembangan terbaharu itu sebagai provokatif sehinggga mendorong Singapura memutuskan untuk melebarkan Had Pelabuhan Singapura di luar Tuas melalui Pemberitahuan Maritim dan Penguasa Pelabuhan Singapura (Had Pelabuhan) (Pindaan) 2018.

Sebelum itu, Singapura membantah rancangan Malaysia memperluaskan had pelabuhan di Johor Bharu dan menyifatkannya sebagai menceroboh perairan wilayah berkenaan.

Tentunya tidak manis bagi dakwaan seperti ini seolah-olah Malaysia sememangnya ada niat untuk bertindak secara provokatif.

Dr Mahathir baru-baru ini menyatakan bahawa kerajaan bersedia mengukur sempadan perairan negara dan Singapura bagi melihat sama ada benar kapal negara ini menceroboh perairan republik itu.

Oleh kerana, pertikaian seperti ini melibatkan undang-undang antarabangsa dan hubungan negara berjiran tentunya Kabinet hari ini akan berbincang serta mengambil satu pendirian sekali gus merungkai kemelut yang mungkin akan berlarutan. – MalaysiaGazette