mySalam edited caption
Skim MySalam yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 24 Januari lalu.

PUTRAJAYA – Dianggarkan seramai 36.9 juta rakyat berumur 18 hingga 55 tahun yang berada dalam kategori B40 akan menikmati skim mySalam.

Skim Perlindungan Nasional B40 yang dilancarkan hari ini, kata Perdana Menteri. Tun Dr Mahathir Mohamad diperkenalkan dengan sumbangan RM2 bilion daripada syarikat insurans dan takaful Great Eastern.

“Skim ini adalah selaras dengan objektif kerajaan untuk mencapai manfaat ekonomi jangka panjang yang lebih tinggi,” katanya ketika menyampaikan ucapan pelancaran di Kementerian Kewangan hari ini.

Terdahulu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, di bawah skim itu penerima layak mendapat perlindungan kesihatan secara percuma untuk 36 jenis penyakit kritikal merangkumi kanser, serangan jantung dan alzheimer.

Skim ini memberi perlindungan perubatan dalam bentuk bantuan kewangan apabila berlaku kecemasan atau masalah kesihatan.

“Penerima skim mySalam akan mendapat bayaran ‘one-off’ (sekali gus) sebanyak RM8,000 jika dikenal pasti menghidap penyakit kritikal.

“Skim mySalam juga memberi bayaran harian RM50 sebagai pendapatan gantian jika penerima menjalani rawatan di mana-mana hospital kerajaan untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun atau bersamaan dengan RM700 setahun.

“Saiz dana permulaan skim mySalam sebanyak RM2 bilion dijangka dapat menawarkan perlindungan perubatan sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun bagi golongan sasar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Perlindungan B40 mySalam.

Hadir sama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Skim mySalam bermula pada 1 Januari lalu dan penerima B40 yang layak boleh membuat tuntutan mulai 1 Mac nanti.-MalaysiaGazette