Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Pelajar-pelajar Kolej Matrikulasi Kedah yang menerima Bantuan Sara Hidup Pelajar (BSHP) menerima agihan wang tersebut lewat tidak seperti yang ditetapkan mengikut jadual.

Perkara itu berlaku ekoran penyaluran waran peruntukan yang disalur kepada kolej berkenaan dilakukan di awal tahun, kata Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kementerian itu, makluman mengenai kelewatan tersebut telah dibuat pada 6 Disember tahun lepas dan ulangan pemberitahuannya dilakukan pada 24 Januari lalu.

“Justeru, pembayaran bagi bulan Januari telah dibuat pada 29 Januari 2019. Selain itu BSHP bulan Februari 2019 kepada pelajar Kolej Matrikulasi Kedah juga telah masuk ke akaun pelajar pada 29 Januari.

“Ini bermakna pengagihan telah dibuat sekaligus bagi kedua-dua bulan Januari dan Februari,” kata kementerian berkenaan.

Dalam pada itu kementerian tersebut menjelaskan, Kolej Matrikulasi Kedah tidak pernah mengadakan “Dapur Jalanan” kepada pelajar yang mengalami masalah kewangan.

Sebaliknya kata kementerian itu, pelajar-pelajar yang menghadapi masalah kewangan dibantu menerusi program khas iaitu Program Anak Angkat Kafeteria dan pensayarah.

“KPM memberi jaminan sentiasa mengambil segala tindakan yang wajar bagi memastikan kebajikan pelajar-pelajar Kolej Matrikulasi terus terpelihara. – MalaysiaGazette