Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa hadir pada Program Jom Santai Bersama #Bossku sempena Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih di Flat Bandar Tasek Kesuma, Semenyih, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 17 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak  mendakwa peserta rombongan haji  terpaksa membayar kos yang mahal bagi menunaikan ibadah itu tahun ini.

Menurut beliau, berdasarkan kepada dasar baru yang dilaksanakan Tabung Haji (TH), beliau mendakwa peserta yang ingin menemani ahli keluarga mereka terpaksa menanggung kos kira-kira RM23,000 bagi membolehkan mereka menjadi peneman kepada peserta rombongan haji biasa.

“Sekarang ada dasar baru yang bayaran ibadah haji RM9,980 namun yang ikut teman seperti muhrim dan bukan giliran kita, maka mereka kena bayar RM23,000 sebagai bayaran.

“Daripada RM9,980 masa zaman BN memerintah, kini melonjak kepada RM23,000 di zaman PH,” katanya ketika berucap dalam program ‘Santai Bersama Najib Razak’ di Flat Baiduri Bandar Tasek Kesuma malam tadi.

Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi.

Najib berkata pada zaman pemerintahan BN, rakyat yang ingin menunaikan rukun Islam kelima itu hanya perlu membayar RM9,980 sahaja.

Malah katanya, negara mendapat pertambahan kuota daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud kepada ditambah kepada 30,200 berbanding 27,900 orang pada tahun 2017.

“Siapa punya kerja ini? Inilah susahnya orang PH. Zaman saya memerintah, haji kita tambah kouta sebab hubungan baik saya dengan Raja Salman yang bagi tambahan kuota.

“Zaman sekarang kena bayar harga pasaran,” ucap Najib lagi.

Pada Khamis yang lalu Tabung Haji membuat pengumuman berkenaan subsidi kepada pengiring ini menerusi Facebook.

Pengiring jemaah haji yang menunaikan ibadah itu lebih awal daripada tahun peruntukan tidak layak menerima subsidi haji seperti yang dilakukan sebelum ini.

Ini sekaligus akan mengakibatkan pengiring dan jemaah rayuan perlu membayar kos penuh sebanyak RM22,900.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof semalam berkata sebarang keputusan dalam pemberian subsidi adalah di bawah pertimbangan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mengikut prinsip istito’ah iaitu berdasarkan kemampuan jemaah haji tersebut.

Malah katanya, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kerajaan berhubung dasar baharu itu. -MalaysiaGazette