Donald Trump. foto Reuters

WASHINGTON – Enam belas buah negeri termasuk California dan New York memfailkan saman ke atas Presiden Donald Trump berikutan rancangan beliau untuk menggunakan kuasa darurat bagi membelanjakan berbilion dolar bagi membina tembok di sempadan Mexico.

Saman yang difailkan di Mahkamah Daerah Persekutuan di San Francisco mendakwa preisden tidak mempunyai kuasa untuk mengalihkan dana bagi pembinaan tembok berkenaan kerana perbelanjaannya dikawal oleh Kongres.

Ketua Peguam California, Xavier Becerra berkata, kenyataan yang pernah dibuat oleh Trump telah memakan diri sendiri dan boleh digunakan di dalam pertikaian di mahkamah.

“Mungkin bukti terbaik adalah perkataan oleh presiden sendiri,” katanya sambil merujuk kepada ucapan Trump pada 15 Februari lalu ketika mengumumkan rancangannya itu.

“Saya tidak perlu berbuat demikian (membina tembok tersebut) tetapi saya mahu melakukannya dengan lebih cepat,” kata Trump.

“Berbeza dengan hasrat Kongres, presiden telah menggunakan dalih “krisis” terhadap peghijrahan haram untuk mengisytiharkan darurat kebangsaan dan mengalihkan wang persekutuan yang sepatutnya digunakan untuk membenteras dadah, inisiatif ketenteraan dan penguatkuasaan undang-undang kepada pembinaan tembok di sempadan AS-Mexico,” kata saman tersebut. – Agensi