Luke Woodland. Foto Twitter Kuala Lumpur FA.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) tidak menunggu lama mencari pengganti selepas menamatkan kontrak pemain pertahanan dari Indonesia, Achmad Jufriyanto ekoran kecederaan yang serius.

Persatuan itu mengumumkan kemasukan pemain skuad kebangsaan Filipina, Luke Woodland bagi mengisi kuota pemain import ASEAN.

Woodland yang dilahirkan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, pemain itu merupakan sebahagian daripada skuad kebangsaan Filipina yang beraksi di Piala Asia bulan lalu.

Dia beraksi dalam semua perlawanan di peringkat kumpulan menentang Korea Selatan, China dan Kyrgyzstan.

Pemain tengah yang berusia 24 tahun itu mempunyai darah campuran Filipina dengan England dan pernah beraksi untuk skuad England bawah 16, 17 dan 18 tahun selepas memasuki Akademi Bolton Wanderers pada usia 8 tahun.

Pada usia 17 tahun, dia memiliki kontrak professional sebagai pemain bola sepak dan menyertai kelab Oldham Athletic dan York City dalam saingan Liga bawahan England.

Pada tahun 2017, Woodland kembali ke negara ibunya, Filipina dengan menyertai kelab Ceres Negros.

Bagaimanapun, khidmatnya bersama kelab tersebut tidak bertahan lama kerana kontraknya tidak disambung lalu membawa diri ke Thailand menyertai kelab Divisyen 1, Buriram United dan dipinjamkan ke Suphanburi FC musim lalu.

Woodland merupakan pemain ketiga dari Filipina yang menyertai pasukan Liga Super musim ini selepas Melaka United menyambar khidmat rakan sepasukannya dalam skuad Piala Asia Filipina iaitu Patrick Reichelt dan Joshua Grommen menyertai PJ City FC. – MalaysiaGazette