Lim Guan Eng
KUALA LUMPUR – Tawaran oleh Bank China untuk menerbitkan bon Panda di China untuk Malaysia merupakan petunjuk positif bahawa negara asing dan pelabur asing yakin terhadap kerajaan baharu di bawah kepimpinanan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata tahap minat dan keyakinan yang ditunjukkan oleh negara asing dalam memberikan pinjaman kepada kerajaan baharu, merupakan tahap yang belum pernah dilihat sebelum ini, berbanding pentadbiran terdahulu.

“Sebelum ini, kita meminjam pada 100 mata asas lebih tinggi daripada kadar pasaran, namun kini kadarnya jauh lebih rendah bagi Jepun (bon Samurai) dengan kadar kupon tertinggi pada 0.65 peratus dan boleh menjadi lebih rendah apabila ia diterbitkan.

“Ini berbanding dengan kerajaan sebelumnya (melalui Goldman Sachs) yang membayar sehingga 100 mata asas lebih tinggi daripada kadar pasaran,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Hartanah Malaysia ke-12, 2019 di sini hari ini.

Baru-baru ini, duta besar China ke Malaysia Bai Tian berkata China Construction Bank mencadangkan untuk menerbitkan bon Panda di China untuk Malaysia bagi membantu meringankan tekanan kewangan negara.

Lim berkata cadangan itu telah dibentangkan kepadanya, dan Perdana Menteri serta Kabinet telah dimaklumkan, namun ia masih dalam perbincangan.

Sementara itu, menteri kewangan itu berkata kerajaan dijangkakan kembali pada kedudukan sebenar dalam tempoh tiga tahun.

“Ini tidak bermakna ekonomi akan bertahan, sebaliknya akam terus meningkat untuk sekali lagi menjadi harimau ekonomi di Asia.

“Kita akan merampas semula kedudukan yang sepatutnya sebelum skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), namun kita perlu ingat mengenai kehilangan hampir RM100 bilion dan tidak mudah untuk pulih (dari ini). Selepas tempoh masa tiga tahun, kami optimis dapat mencapainyai,” katanya.

Menyentuh mengenai pasaran hartanah, Lim menegaskan pemaju seharusnya optimis berikutan pengumuman insentif oleh kerajaan, termasuk pengecualian duti setem.

Ditanya mengenai cukai ke atas keuntungan hartanah (RPGT) daripada pelupusan hartanah selepas lima tahun pemilikan, Lim menjelaskan bahawa cukai lima peratus yang dikenakan itu adalah ke atas keuntungan yang diperoleh daripada pelupusan dan bukan ke atas harga pembelian.

“Jika anda tidak membuat sebarang keuntungan, tiada masalah dan pengecualian satu kali masih terpakai. Ini bermakna jika anda mempunyai harta dan membuat keuntungan, anda dibenarkan pengecualian sekali.

“Namun jika anda mempunyai harta kedua, anda perlu bayar (cukai),” kata Lim, sambil menambah bahawa pemilik boleh memilih harta yang akan dikenakan RPGT.

Sementara itu, Lim berkata rundingan mengenai projek ECRL dijangka dimuktamadkan sebelum April.

“Kami terus berharap rundingan ini dapat diselesaikan dan mereka (China) dapat memenuhi permintaan kita untuk mengurangkan harga.

“Pengurangan kos yang diminta adalah berdasarkan kadar yang boleh ditanggung oleh Malaysia … jika tidak, kita akan menanggung hutang yang semakin meningkat,” katanya.

Lim berkata sebarang rundingan juga mesti mengambil kira hubungan baik antara Malaysia dan China.

— BERNAMA