Datuk Mohd Hafarizam Harun.

KUALA LUMPUR – Peguam UMNO, Datuk Hafarizam Harun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan melibatkan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta di Mahkamah Sesyen hari ini.

Ketika dibacakan pertuduhan kepadanya di hadapan Hakim Azman Ahmad, Hafarizam mengangguk faham dan mohon untuk dibicarakan. 

Berdasarkan pertuduhan, Hafarizam pada 16 April 2014 dan 4 November 2014 di CIMB Bank cawangan PWTC melibatkan diri dengan dua traksaksi melibatkan hasil aktiviti haram  menyebabkan RM11.5 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank milik Datuk Seri Najib Razak dimasukkan ke dalam Client Account firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM). 

Pertuduhan kedua pula beliau pada 12 Febuari 2015 di CIMB Bank cawangan PWTC melibatkan diri secara langsung terhadap aktiviti haram  dengan hasil RM3.5 juta melalui sekeping cek milik bekas Perdana Menteri dimasukkan ke dalam client account firma guaman Tetuan Hafarizam & Aisha Mubarak (HWAM).

Kedua-dua pertuduhan itu di bawah akta yang sama iaitu Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubalan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 Akta 613.

Jika disabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak lebih 15 tahun,  denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu atau RM5 juta atau lebih tinggi. 

Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Mac 2019. 

Pendakwaan Hafarizam ini susulan penahanannya semalam oleh   Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kira-kira jam 4.25 petang selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat agensi itu.

Hafarizam yang diwakili peguam belanya Datuk Hasnal Rezua Merican dalam kesnya ini terdahulu hadir ke Kompleks Mahkamah debelum 8:30 pagi tadi.

Beliau kemudiannya dibebaskan dengan ikat jaminRM500,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya antarabangsa diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai.

Dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib turut memaklumkan,  terdapat kes seorang individu warganegara Britain iaitu Paul Geoffrey Stadlen yang telah didaftarkan berkaitan kes yang sama. 

Langkah-langkah untuk mengesan Paul telah dibuat iaitu mendaftarkan kes ke mahkamah, mendapatkan waran tangkap dan menyerahkan waran tangkap itu kepada Polis Antarabangsa (Interpol) kerana dia berada di luar negara. – MalaysiaGazette