Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berswafoto dengan sebahagian murid sekolah ketika hadir untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 22 FEBRUARI 2019.

BANGI – Walaupun program ‘Sembang Santai Bossku’ anjuran Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) telah ditunda ke satu tarikh yang belum dipastikan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut menunaikan janjinya untuk turun ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bekas Presiden UMNO itu hadir ke UKM bagi menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pintu masuk universiti berkenaan.

Najib yang memakai baju melayu berwarna merah jambu disambut oleh beberapa pelajar UKM yang kebetulan berada di masjid itu.

Hadir sama adalah Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam.

Beliau sempat menunaikan solat Jumaat dengan para hadiran yang ada.

Selepas solat Jumaat, Najib sempat beramah mesra dengan pelajar dan kakitangan UKM yang turut menunaikan solat di masjid yang sama.

Semalam, program ‘Sembang Santai Bossku’ ditunda kepada satu tarikh yang belum dipastikan lagi.

Menurut Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Hamdi Abd. Shukor, program ‘Sembang Santai Bossku’ bersama Datuk Seri Najib Razak telah ditangguhkan.

Ia kerana program itu adalah anjuran daripada pelajar dan ditangguhkan kerana tiada penglibatan daripada pihak pengurusan universiti kerana segala perancangan dilakukan oleh pelajar universiti berkenaan.

Dalam pada itu, menurut Facebook Bangi Community, program tersebut telah bertukar tempat dan bukan lagi diadakan di dalam UKM.

Menurut penganjur, Muhammad Aizat Ebrahim, program melibatkan Najib itu akan diadakan di Cartel Coffee Shop di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi jam 2.30 petang ini. -MalaysiaGazette