Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kekukuhan ekonomi negara bersandarkan kepada lapan faktor iaitu pertumbuhan yang mantap dan stabil.
KLCC mercu tanda Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR- Malaysia merekodkan peningkatan sebanyak 0.5 peratus pelaburan diluluskan kepada RM201.7 bilion pada 2018 berbanding RM200.6 bilion sebelumnya disumbang oleh sektor pengilangan, perkhidmatan dan sektor utama.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam kenyataannya hari ini berkata, sejumlah 4,887 projek telah diluluskan manakala 129,700 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan sepanjang tahun lalu.

Pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 60.1 peratus atau RM121.1 bilion sementara pelaburan langsung asing (FDI) mewakili 39.9 peratus atau RM80.5 bilion.   

Sektor perkilangan mencatat peningkatan pelaburan tertinggi pada tahun lalu berjumlah RM87.4 bilion, naik 37.2 peratus berbanding 2017 dengan China, Indonesia, Belanda, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) penyumbang utama kepada pelaburan dalam sektor itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking, berkata FDI dalam projek perkilangan diluluskan pada tahun lalu meningkat lebih dua kali ganda dengan majoriti atau 69.5 peratus daripadanya adalah projek baharu manakala bakinya merupakan pengembangan dan mempelbagaikan projek sedia ada.

China, Indonesia, Belanda, Jepun dan Amerika Syarikat terus menjadi penyumbang utama kepada pelaburan dalam sektor ini mewakili 76.4 peratus.

Dalam pada itu, sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2018 dengan menjadi penyumbang terbesar dalam jumlah pelaburan diluluskan, iaitu RM103.4 bilion yang membabitkan 4,103 projek.

Setakat ini, MIDA telah meluluskan secara keseluruhan 35 projek Hab Prinsipal dengan syarikat komited untuk membelanjakan perniagaan sejumlah RM35.1 bilion.

Pelaburan dalam sektor utama pula merekodkan penurunan sebanyak 12.2 peratus dari RM12.4 bilion pada tahun 2017 kepada RM10.9 bilion pada tahun 2018 disebabkan oleh nilai pelaburan yang lebih rendah dalam aktiviti penerokaan minyak dan gas.- MalaysiaGazette