CHRISTCHURCH – Angka korban insiden terus meningkat dan terkini seramai 50 orang manakala 11 lagi dalam keadaan kritikal di hospital pada masa ini.

Angka terbaharu kematian itu berikutan jenazah dikeluarkan dari masjid di bandar selatan berkenaan, kata polis dan pegawai forensik dari seluruh New Zealand.

Agensi melaporkan, kejadian tembakan di dua masjid di New Zealand itu bukan sahaja menggemparkan dunia itu turut bersimpati dengan insiden tersebut.

Sokongan, simpati tanpa henti itu dilakukan sehari selepas pengganas sayap kanan didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan serangan kejam ketika mangsa-mangsa mahu menunaikan solat Jumaat.

Pengganas itu, Brenton Tarrant yang duduk dalam kandang pesalah dalam keadaan bergari dan memakai baju putih penjara, berdiri tanpa sebarang emosi ketika hakim membacakan senarai tuduhan ke atasnya.

Tarrant yang merupakan warga Australia dan tinggal di New Zealand sejak beberapa lama merupakan seorang bekas jurulatih kecergasan berusia 28 tahun.

Apa yang lebih mengecewakan apabila Tarrant yang ketika dihadapkan ke mahmakah semalam, tidak menunjukkan sebarang reaksi bersalah terhadap pembunuhan beramai-ramai dilakukan olehnya sebaliknya menunjukkan ibu jari atas bawah tanda ‘okay – simbol digunakan kumpulan berkuasa kulit putih seluruh dunia.

Tertuduh tidak memohon jaminan dan ditahan sehingga dihadapkan di mahkamah 5 April ini.

Berikutan serangan kejam itu, sejak tiga hari lepas para doktor kerja tanpa henti berhempas pulas merawat 36 yang masih dirawat di hospital akibat kecederaan tembakan dan kecederaan lain.

Mangsa yang cedera termasuk budak lelaki dua tahun dan kanak-kanak perempuan empat tahun yang berada dalam keadaan kritikal.

Serangan ke atas Masjid Al Noor dan Linwood menggegarkan negara yang biasanya aman, berbangga kerana mengalu-alukan pendatang lari akibat keganasan atau pendakwaan. –MalaysiaGazette