Datuk Shahril Ridza Ridzuan
Shahril Ridza Ridzuan

KUALA LUMPUR- Wang diperoleh oleh Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah Nasional) digunakan untuk pelaburan semula dan bukannya diserahkan kepada kerajaan.

Itu penjelasan Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

“Saya ingin memberi pencerahan bahawa wang yang diperoleh daripada penjualan aset Khazanah Nasional tidak diserahkan kepada kerajaan tetapi digunakan untuk pelaburan semula.

“Kami tidak menyerahkan wang hasil penjualan tersebut sebagaimana yang difikirkan oleh banyak pihak,” katanya semasa menjadi salah seorang panelis dalam sesi bertajuk Mandat Baharu, Peluang Baharu sempena Invest Malaysia 2019 di sini hari ini.

Shahril Ridza berkata, di bawah mandat baharu yang diamanahkan kerajaan terhadap pengurusannya adalah menyeimbangkan portfolio Khazanah Nasional dan menjadikan sayap pelaburan negara itu penyumbang besar dan stabil kepada pendapatan negara.

Ini sekaligus memberikan pendedahan kepada entiti untuk bersaing dengan lebih hebat di peringkat global.

Tambahnya, mandat baharu Khazanah Nasional adalah misi dan visi yang jelas terhadap matlamat jangka panjang.

Menurut Shahril Ridza, portfolio Khazanah Nasional pada masa hadapan perlu dibahagikan kepada 70:30 di mana 70 peratus daripada asetnya akan diletakkan di bawah kategori komersial di mana keputusan perniagaan dibuat secara bebas oleh entiti berkenaan.

Ia juga bagi memenuhi sasaran pertumbuhan aset jangka panjang syarikat.

Manakala baki 30 peratus seperti Tenaga Nasional Bhd., Telekom Malaysia Bhd. dan sebagainya akan diletakkan di bawah kategori startegik iaitu untuk memenuhi tanggung jawab terhadap negara dan sebarang keputusan mengenai syarikat-syarikat berkenaan adalah bergantung kepada kerajaan.

“Kami hanya akan menguruskan (aset-aset strategik) dan akan memberi nasihat kepada kerajaan mengenai impak terhadap ekonomi secara keseluruhan sekiranya sesuatu keputusan perlu diambil oleh kerajaan berhubung syarikat tersebut,” jelasnya.

Kerajaan mendapat kritikan banyak pihak apabila didakwa mengarahkan Khazanah Nasional untuk melupuskan aset-asetnya bagi menambah pendapatan negara.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Khazanah bakal lupus lebih banyak kepentingan bukan strategik

Jual aset Khazanah, PNB untuk tampung kehilangan hasil – Najib

Khazanah masih belum terima tawaran beli pegangan dalam Legoland