Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu 
Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu 

IPOH – Kemungkinan berlaku pertukaran kerajaan di Perak adalah bersamaan dengan kosong, kata Ketua DAP Perak, Nga Kor Ming.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong itu dengan penuh keyakinan memberitahu bahawa wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan tidak mungkin akan mengemuka cadangan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Daripada 59 kerusi yang terdapat di Perak, Pakatan Harapan berjaya mengawal 31 kerusi manakala Pas dan UMNO menguasai baki 28 kerusi.

Khabar angin mengenai pertukaran kerajaan atau menteri besar telah tersebar lama di Perak.

Ahmad Faizal sendiri bagaimanapun menafikan perkara itu sambil meminta orang ramai tidak menyebar desas-desus tidak berasas walaupun Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak,  Saarani Mohamad telah memberi amaran sejak tahun lalu tentang kemungkinan menteri besar bertukar orang.

Kor Ming ketika ditanya Sinchew Daily mengenai perkara itu bagaimanapun berkata, berita yang diterimanya menunjukkan berlaku isu dalam UMNO Perak dengan segelintir pemimpin tidak merestui kepimpinan Saarani.

“Tujuan Saarani menyebarkan berita pertukaran menteri besar adalah untuk menenteramkan ADUN UMNO yang tengah kecewa,” katanya.

Menurutnya, ‘kerajaan’ yang bakal dibentuk Saarani itu tidak mempunyai seorang pun ADUN keturunan Cina atau India, sekali gus tidak mungkin mendapat sokongan.

Dalam pada itu, Kor Ming tidak menafikan bahawa Saarani mungkin mengharapkan keajaiban dengan menarik sokongan bekas wakil rakyat UMNO, selain mendapatkan sokongan daripada Ahmad Faizal sendiri untuk membentuk kerajaan.

“Tetapi dengan penafian Ahmad Faizal sendiri, maka Saarani kini hanya boleh terus bermimpi,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan