KUALA LUMPUR – Kerajaan disarankan mempertimbangkan segala perniagaan asas yang berkait rapat dengan keselamatan  diserahkan untuk diuruskan Koperasi Polis Diraja Malaysia  selepas ini.

Urusan perniagaan asas yang berkait langsung dengan PDRM seperti bekalan senjata dan peluru, perniagaan hotel, keselamatan dan bekalan uniform keselamatan wajar diserahkan kepada Koperasi PDRM.

“Ini sudah tentu menguntungkan ahli-ahli koperasi dan pegawai pegawai PDRM menambah tabung mereka menerusi koperasi kerana kita dalam pasukan sentiasa berisiko.

“Kita bertugas 24 jam, jadi boleh katakan tiap- tiap hari atau sebulan secara purata 28 hingga 31 orang polis terlibat kemalangan maka jika jadi, ahli segalanya terlindung dengan pelaburan yang menjamin masa depan mereka,” ujar Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Sebelum itu beliau hadir ke Mess Pegawai Kanan Bukit Aman untuk menyaksikan Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara Koperasi Polis Diraja Malaysia dengan Persatuan Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) dan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia.

Menurut Mohamad Fuzi, Koperasi PDRM sudah berkemampuan menjana pendapatan dengan skala besar yang mampu memanfaatkan ahli PDRM dan keluarga anggota.

“Kita selain keupayaan dana juga terdapat kepakaran yang memberi idea dan sebab itulah kami melantik ahli Respa duduk sebagai ahli lembaga pengarah anak-anak syarikat koperasi PDRM

“Bayangkan beberapa dalam kalangan mereka adalah ahli perniagaan berjaya yang akan membantu koperasi dengan rangkaian perniagaan dimiliki untuk membawa masuk projek.

“Kita ada 200,000 anggota keselamatan dan 100,000 yang sudah bersara itu satu kelompok besar pengguna,” tegas beliau lagi.

Menurutnya, ia mampu memanfaatkan kebajikan kesemua lebih lebih 103,093 anggota, pegawai polis dan kakitangan awam PDRM yang menjadi ahli Koperasi PDRM sekarang.

Mohamad Fuzi berkata, buat masa ini pihaknya terpaksa mengharapkan bajet kewangan sehingga RM150 juta setiap tahun daripada kerajaan.

“Dulu, syarikat banyak mengalami kerugian sehingga ramai meninggalkan koperasi tetapi kini koperasi sudah menjalani pemulihan sepenuhnya dan berupaya menjalankan aktiviti koperasi dengan sumber yang melibatkan lebih 800 syarikat keselamatan sedia ada boleh dan boleh menjana pendapatan RM12 bilion setahun.

“Jadi, sebagai usaha mengelak pegawai dan anggota kita terlibat rasuah dan masalah integriti adalah dengan melabur atau menggalakkan menabung dalam bentuk saham walaupun premium mungkin tinggi berbanding bank luar sana tapi ingatlah tahun lepas kami beri dividen sebanyak 13 peratus kepada ahli dan kami menjamin tahun ini mahu beri lebih 15 peratus pada Jun ini,” katanya.- MalaysiaGazette