Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Dr. Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia menerima berita kematian Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, dalam kejadian keganasan di Christchurch, New Zealand dengan rasa pilu dan dukacita.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam kenyataannya hari ini menyatakan, kerajaan cukup pilu mendapat berita anak muda itu disahkan meninggal dunia dalam kejadian keganasan di dua masjid di negara itu, Jumaat lalu.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan para syuhada dan solehin. Saya doakan kekuatan buat keluarga Allahyarham dalam menghadapi berita yang amat pilu ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Media melaporkan, kehilangan Mohd Haziq selepas insiden serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand Jumaat lalu terjawab apabila beliau disahkan meninggal dunia semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang,  Phee Boon Poh berkata, berita penemuan mayat remaja berusia 17 tahun itu telah diterima oleh Wisma Putra.

“Dukacita dimaklumkan Mohd Haziq yang hilang sejak Jumaat lepas telah ditemui,” kata Boon Poh.

Dalam serangan itu, kira-kira 50 umat Islam yang sedang menunaikan solat Jumaat terbunuh, Mohd Tarmizi, 42, yang parah dalam serangan itu kini dirawat di sebuah hospital di negara itu.

Najib Tun Razak
Najib Razak

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Haziq, mangsa serangan pengganas di Chirstchurch.

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi akaun Twitternya turut mezahirkan rasa sedih dengan perkhabaran yang menimpa keluarga Mohd Tarmizi yang kehilangan anaknya.

“Menerima perkhabaran sedih, takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham adik Mohd Haziq Mohd Tarmizi yang disahkan meninggal dunia susulan serangan tembakan di Christchurch.

“Sama-samalah mendoakan rohnya ditempatkan bersama para syuhada. Al-Fatihah,” ucapnya.

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut melahirkan rasa dukacita dan berkongsi rasa simpati yang tidak terhingga di atas berita pemergian Allahyarham Mohd Haziq.

“Semoga Allah S.W.T. mengurniakan keampunan dan rahmat-Nya ke atas almarhum dan menempatkan beliau bersama para syuhada’ dan hamba-hambaNya yang soleh. Al-Fatihah,” katanya menerusi ciapan Twitter beliau. – MalaysiaGazette