Foto Laman Rasmi Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia.

KUALA LUMPUR – Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid akan memakai lilitan kapten dalam kempen kelayakan AFC B-23 yang bermula pada malam ini menentang Filipina B-23 di Stadium Shah Alam.

Malah pengalamannya bersama skuad Harimau Malaysia sebelum ini membuatkan pemain kelahiran Terengganu itu sememangnya layak diangkat sebagai ketua di atas padang.

Selepas menentang Filipina, skuad Malaysia akan berdepan dua lagi pencabar, Laos dan China di stadium yang sama.

Juara setiap kumpulan bagi saingan kelayakan ini (11 pasukan) akan layak secara automatik ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2020 bersama tuan rumah, Thailand manakala hanya empat/lima pasukan tempat kedua terbaik akan turut layak bagi melengkapkan senarai 16 pasukan.

Empat pemain telah digugurkan daripada senarai awal 27 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat bermula 10 Mac lalu iaitu Kogileswaran Raj (Pahang), Nazirul Afif Ibrahim (Perak), Ariff Ar-Rasyid Ariffin (PKNS FC) dan Ariusdius Jais (Sabah).

China satu-satunya pasukan bukan dari benua Asia Tenggara dalam kumpulan itu tatkala jurulatihnya iaitu Guus Hiddink hadir dengan reputasi hebat, pernah membawa Korea Selatan ke separuh akhir Piala Dunia 2002. – MalaysiaGazette