Tan Sri Musa Hassan
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bercakap pada Program Bicara Isu Hukuman Mati di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Akta Hasutan 1948 masih lagi berkuatkuasa dan boleh digunakan untuk menjamin ketenteraman awam selagi mana undang-undang itu tidak dibekukan penggunaannya oleh Menteri Dalam Negeri.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sekiranya undang-undang itu masih berkuatkuasa, pihak polis boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana pesalah yang mengingkarinya.

“Kalau Menteri Dalam Negeri kata undang-undang itu masih boleh diambil tindakan, masih boleh dikuatkuasa, maka boleh diambil tindakan.

“Ia boleh dilaksanakan tiada masalah,” katanya kepada pemberita selepas rundingan meja bulat mengekalkan hukuman mati mandatori untuk pembunuh di Wisma MCA, di sini, hari ini.

MGF22032019_BICARA ISU HUKUMAN MATI11
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bersama Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya (kiri), peguam Christina Teng dan Datuk Richard Morais menunjukkan poster kes kematian dan isu hukuman mati semasa Program Bicara Isu Hukuman Mati di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2019

Semalam, Muhyiddin berkata, pihak polis masih boleh menggunakan Akta Hasutan 1948 bagi menjalankan siasatan kerana undang-undang itu belum dimansuhkan.

Katanya, beliau sudah mengarahkan agar penggunaan akta tersebut dibuat secara berhemah dan hanya jika kes mempunyai bukti asas yang kukuh.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dilaporkan berkata, polis diarah untuk tidak menggunakan akta itu bagi menahan mana-mana individu di negara ini.

Ia selari dengan pendirian kerajaan untuk mengkaji keperluan bagi meminda atau memansuhkan akta berkenaan dalam tempoh terdekat.

Musa juga berkata, Akta Hasutan bertujuan memastikan masyarakat majmuk dengan pelbagai agama dan bangsa di negara ini bersatu-padu.

“Dengan akta ini, tiada hina-menghina antara satu sama lain, kerana kita nak hidup bersama, kita bukan mahu gaduh.

“(Akta) sangat perlu, memang ada keperluan. Kalau tengok kenyataan-kenyataan dibuat menghasut orang, boleh mewujudkan kebencian antara satu sama lain, ini sangat tidak baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette