KLIA

KUALA LUMPUR – Jumlah penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didakwa merosot selepas Pilihan Raya Ke-14 (PRU14).

Sebelum PRU, jumlah penumpang di KLIA menyaksikan peningkatan pertumbuhan yang tinggi, jauh mengalahkan negara jiran seperti Singapura, dakwa Datuk Seri Najib Razak.

Changi merekodkan sejumlah penumpang sebanyak 65.6 juta (2018;+5.5%), 60 juta (2017;+6.0%) dan 58.7 juta (2016;+5.9%).

Manakala KLIA pula 59.9 juta (2018;+2.4%), 58.56 juta (2017, +11.2%) dan 52.64 juta (2016; +7.5%)

“Sebelum PRU14, jumlah penumpang di KLIA mengalami kenaikan tinggi sehingga KLIA dijangka mengatasi Changi untuk kali pertama di dalam sejarah.

“Tetapi ini tidak menjadi di bawah Pakatan Harapan (PH) akibat ekonomi yang semakin merosot dan kecenderungan untuk PH mencari gaduh dengan negara-negara lain.

“Lagipun, siapa nak melawat sebuah negara yang sudah bankrap dengan hutang RM1 trilion?,” soal bekas perdana menteri itu.

Disebabkan itu, kadar pertumbuhan jumlah penumpang di KLIA untuk tahun 2018 jauh di bawah unjuran.

Bukan itu sahaja, unjuran pertumbuhan di KLIA untuk tahun 2019 ini hanya 4.9 peratus sahaja, di bawah unjuran untuk Changi tahun ini.

Najib mendakwa, unjuran yang jauh lebih rendah bagi Malaysia itu mungkin tidak tercapai juga.

Ia berdasarkan kadar pertumbuhan di KLIA untuk bulan Januari 2019 hanya 0.1 peratus dan 2.9 peratus untuk bulan Februari.

“Lebih membimbangkan lagi ialah penumpang antarabangsa dari negara bukan ASEAN mengalami kejatuhan untuk dua bulan pertama tahun ini – bukan lagi pertumbuhan,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pekan itu menambah, pada suatu masa dahulu di bawah Barisan Nasional, Malaysia hampir mengatasi Changi tetapi kini negara semakin ketinggalan pula.

Keadaan ini, katanya, turut menjejaskan pelan pemulihan untuk Malaysia Airlines yang telah berjalan dengan baik sebelum PRU14. – MalaysiaGazette