Felcra

KUALA LUMPUR – Felcra telah menangguhkan sementara pinjaman sara hidup kepada para pesertanya disebabkan kedudukan kewangan syarikat yang lemah.

Ia susulan kejatuhan harga komoditi dan cabaran isu legasi yang diwarisi daripada pengurusan terdahulu.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berkata, penangguhan secara sementara ini hanyalah bagi pinjaman yang menggunakan sumber dalaman Felcra sahaja.

Manakala bayaran sara hidup yang menggunakan tabungan peserta seperti Bantuan Tanam Semula RISDA (BTSR), dibayar terus kepada peserta-peserta.

Pembiayaan sara hidup adalah pinjaman kepada peserta-peserta bertujuan membantu perbelanjaan bulanan apabila projek mereka tidak mempunyai hasil semasa program tanam semula.

Katanya, pembiayaan sara hidup diterima oleh peserta-peserta ini diperolehi daripada dua sumber utama iaitu sumber tabungan peserta yang diperolehi daripada Tabung Tanam Semula (TTS), Bantuan Tanam Semula RISDA (BTSR) dan bantuan MPOB.

Selain itu, pinjaman daripada Felcra, yang mana Felcra menggunakan sumber dalamannya sendiri iaitu pada kadar RM70/ekar/bulan selama 4 tahun bagi tanaman sawit dan enam tahun bagi tanaman getah dalam bentuk pinjaman yang perlu dibayar balik oleh peserta.

“Memandangkan Felcra kini berhadapan dengan keadaan kewangan yang sangat serius, maka Felcra sentiasa berusaha
keras untuk mendapatkan pinjaman daripada kerajaan dan atau institusi-institusi kewangan bagi membiayai pinjaman sara hidup.

“Felcra yakin perkara ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya bagi menjawab soalan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak). – MalaysiaGazette