Peguam kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shafee Abdullah bercakap kepada media selepas selesai menghadiri ke mahkamah bagi membela anak guamnya yang menghadapai pertuduhan kes berhubung dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa separuh daripada penyataan pembukaan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas sebenarnya tidak berasas dan tanpa bukti kukuh.

Sebaliknya, ia merupakan ucapan berbaur politik semata-mata.

“Saya tidak sangka penyataan pembukaan begitu teruk dan mengarut sebenarnya.

“Yang kedua (ucapan) terakhir itu langsung tidak mempunyai fakta Semuanya seperti ucapan politik semata-mata.

“Tidak ada alasan kukuh langsung, malah seperti yang saya katakan sebelum ini, saya nyatakan sekali lagi, sudah tentu kita akan menang kerana kes ini tidak mempunyai dakwaan yang kukuh dan kuat sebenarnya,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan Kompleks Mahkamah selepas prosiding di tangguhkan sehingga 15 April depan.

Tommy semasa membacakan pernyataan pembukaan mendakwa, pihaknya akan membuktikan Datuk Seri Najib Razak pada 10 Februari 2015 telah memasukkan RM10 juta iaitu wang hasil aktiviti haram daripada akaun peribadinya ke akaun-akaun peribadi yang lain.

Peguam Negara itu menambah, pendakwaan akan membuktikan bahawa Najib mengeluarkan sebanyak 15 cek peribadi daripada akaun beliau berjumlah RM10,776,514.00.

Dakwa Tommy, barisan pendakwa juga akan membuktikan bahawa pada Disember 2014, kredit kad Najib telah dicaj sebanyak AS$130,625 bagi perbelanjaan di butik Chanel di Honolulu Amerika Syarikat.

Turut akan dibuktikan cek peribadi yang digunakan antara lain bagi pembayaran kerja pengubahsuaian rumah beliau di Langgak Duta dan di Pekan, Pahang serta kepada parti politik komponen Barisan Nasional (BN).

MGF03042019_DS NAJIB MAHKAMAH KES SRC INTERNATIONAL11
Peguam Negara, Tommy Thomas hadir sebagai peguam pendakwa bekas mengenai kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 APRIL 2019

Jelas Tommy, Najib juga telah menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bagi kepentingan dirinya untuk mendapatkan wang rasuah sebanyak RM42 juta.

Dengan penuh keyakinan, kata Tommy, pendakwaan akan membuktikan Najib terlibat secara langsung dalam keputusan pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman berjumlah RM4 bilion yang diterima oleh SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

MGF03042019_DS NAJIB MAHKAMAH KES SRC INTERNATIONAL14
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjalan keluar selepas selesai menghadiri bicara kes berhubung dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 APRIL 2019

“Oleh itu, adalah menjadi tugas dan keistimewaan saya untuk memulakan perbicaraan di mahkamah terhadap bekas seorang perdana menteri yang selama hampir sedekad, menduduki jawatan yang paling berkuasa di negara ini dan mempunyai hampir kuasa mutlak.

“Keistimewaan seperti itu memikul tanggungjawab yang besar, yang pejabat saya berhasrat untuk melaksanakannya bagi membuktikan bahawa tertuduh bersalah atas tujuh pertuduhan yang dihadapinya seperti yang telah dibacakan di hadapan Yang Arif.

“Tertuduh sepanjang tempoh menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri yang kesalahan itu dilakukan juga serentak ketika memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan, dengan itu menggabungkan kuasa politik maksimum dan mengawal kewangan negara,” tegasnya ketika pembukaan.

“Seharusnya jawatan dalam kerajaan, apatah lagi yang sangat tinggi sepatutnya digunakan dengan penuh amanah dan bukan sebaliknya. Rakyat meletakan kepercayaan paling besar kepada tertuduh.

“Tidak cukup dengan memegang jawatan sebagai perdana menteri dan menteri kewangan, tertuduh juga dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Penasihat Emeritus dalam anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd,” tambah Tommy.

Najib, 65,  yang kelihatan tenang sepanjang masa duduk di kerusi kandang tertuduh kadang-kadang di lihat berbisik kepada barisan peguam belanya, juga tersenyum sesekali melihat Harvinderjit Singh menyoal saksi pertama.

Ahli Parlimen Pekan itu kini berdepan dengan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Selepas ‘bertekak’ selama hampir 15 minit, Tommy dan Shafee  masing-masing dilihat tidak mahu ‘kalah’  berhubung tarikh perbicaraan akan akhirnya Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan 15 April sehingga 10 Mei dengan mengambil kira kepentingan kes tersebut. – MalaysiaGazette