Diogo Jota meraikan jaringannya pada perlawanan menentang Mancester United yang berkesudahan Wolverhampton Wanderers menewaskan pasukan pelawat 2-0 awal pagi tadi.

WOLVERHAMPTON – Wolverhampton Wanderers menyukarkan laluan Manchester United untuk menduduki empat tempat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menewaskan the Red Devils 2-0 di Stadium Molineux awal pagi ini.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer membuat enam pertukaran dalam pasukan yang menwaskan Watford pada Sabtu lalu dengan Marcus Rashford dan Anders Herrera diketepikan berikutan masalah kecederaan manakala Anthony Martial hanya disenaraikan sebagai pemain simpanan.

Bagaimanapun, United yang bermain dengan baik pada awal perlawanan membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi Scott McTominay, yang mengambilalih tempat Harera, dengan rembatan kencang di atas padang yang basah pada jarak 25 meter.

Namun kegembiraan United tidak lama berpanjangan apabila Wolves menyamakan kedudukan pada minit ke-25 berikutan kesilapan pemain pertahanan United.

Fred yang tidak mengawal bole dengan kemas daripada hantaran penjaga gol membolehkan Raul Jimenez mengumpan kepada Diogo Jota yang dengan tenang menjaringkan gol.

Pasukan tuan rumah mendapat kelebihan pada separuh masa kedua apabila Ashley Young menerima kad kuning kedua, hanya lima minit selepas melakukan kesalahan pertama.

Pada awalnya United masih boleh bertahan bermain dengan 10 orang namun pasukan itu akhirnya rebah pada minit ke-78 setelah gagal menghalang hantaran silang Jonny Castro ke dalam kawasan penalti yang menyebabkan pergelutan untuk menguasai bola.

Namun bola terkena Chris Smalling menerjah ke gol sendiri.

Wolves terus memburu gol ketiga dan usaha itu hampir membuahkan hasil apabila percubaan Ivan Cavaleiro terkena palang gol.

Keputusan perlawanan awal pagi ini bermakna United kekal berada di tangga kelima liga, di belakang Tottenham Hotspur yang mengumpul mata yang sama namun dibezakan dengan jaringan gol. Spurs mempunyai kelebihan satu perlawanan.

Wolves kekal di tangga ketujuh dan akan menentang Watford pada perlawanan separuh akhir Piala FA Ahad ini. – Agensi